Bangkok, 12 Jun — Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, puteri sulung Raja Maha Vajiralongkorn, telah mangkat pada usia 47 tahun selepas mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan hampir empat tahun koma, menurut pengumuman rasmi Istana Diraja hari ini.
Puteri Bajrakitiyabha, yang juga dikenali sebagai Puteri Pa, telah dimasukkan ke hospital pada Disember 2022 selepas tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat masalah jantung ketika melakukan lawatan di wilayah timur laut, Nakhon Ratchasima.
Baginda kemudian telah diterbangkan menggunakan helikopter ke Bangkok untuk rawatan lanjut.
Menurut kenyataan Istana Diraja, tahap kesihatan Puteri Bajrakitiyabha semakin merosot dengan komplikasi seperti jangkitan dalam perut, kolitis, tekanan darah rendah, gangguan irama jantung, dan masalah pembekuan darah sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam.
Dilahirkan pada 7 Disember 1978, Puteri Bajrakitiyabha merupakan anak kepada Raja Maha Vajiralongkorn, yang ketika itu masih bergelar Putera Mahkota, dan isteri pertamanya, Puteri Soamsawali.
Sepanjang hayatnya, Puteri Pa dikenang bukan sahaja sebagai ahli keluarga diraja tetapi turut memainkan peranan besar dalam hal ehwal masyarakat khasnya dalam memperjuangkan kesejahteraan banduan wanita dan kerjaya diplomatiknya.
Baginda adalah lulusan undang-undang dari Universiti Cornell, Amerika Syarikat, di mana baginda memperoleh ijazah Sarjana dan Kedoktoran. Baginda pernah berkhidmat sebagai peguam di Pejabat Peguam Negara Thailand antara tahun 2006 hingga 2011.
Dari tahun 2012 hingga 2014, Puteri Bajrakitiyabha menjawat jawatan sebagai duta Thailand ke Austria, Slovenia dan Slovakia sebelum kembali bertugas di pejabat peguam negara di Bangkok.
Bagi membela hak banduan wanita, terutama yang sedang hamil, baginda turut menubuhkan sebuah yayasan amal yang memberi tumpuan kepada kepentingan mereka.
Pada tahun 2017, Puteri Pa dilantik sebagai duta muhibah untuk undang-undang di Asia Tenggara oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah dan Kehakiman PBB. Pada 2021 pula, baginda menyertai tentera dan dianugerahkan pangkat jeneral serta berkhidmat sebagai ketua staf dalam Perintah Keselamatan Diraja.
Puteri Bajrakitiyabha merupakan salah seorang daripada tiga anak Raja Vajiralongkorn yang memiliki gelaran rasmi dan layak mewarisi takhta mengikut perlembagaan Thailand. Pada Oktober lalu, ibu suri Thailand turut mangkat pada usia 93 tahun.
Istana memaklumkan akan diadakan upacara pengebumian diraja, sementara kerajaan dijangka mengumumkan tempoh berkabung di seluruh negara. — Reuters









