Home Malaysia Fahmi kecewa Lee Chean Chung letak jawatan Majlis Pimpinan PKR, desak penjelasan...

Fahmi kecewa Lee Chean Chung letak jawatan Majlis Pimpinan PKR, desak penjelasan demi pengundi

5
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil, melahirkan rasa kecewa susulan keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, sambil menegaskan bahawa Lee perlu memberikan penjelasan yang jelas kepada pengundi dan ahli parti.

Fahmi berkata beliau telah mengenali Lee sejak sekian lama dan berpendapat wakil rakyat itu sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti sekiranya mempunyai sebarang isu atau ketidakpuasan hati, bukannya mengambil langkah keluar dari barisan kepimpinan.

“Saya kecewa dengan keputusan yang diambil olehnya. Ramai pengundi di Petaling Jaya memilih beliau dan beliau perlu tampil memberikan penjelasan kepada mereka serta ahli parti,” katanya kepada media selepas mesyuarat Kabinet pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi menjelaskan, perbezaan pandangan dalam PKR bukanlah perkara baru dan memberi contoh bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, yang menurutnya, sering menyuarakan pendapat berbeza tetapi tetap kekal menggunakan saluran parti untuk memperbaiki keadaan.

Tambahnya lagi, Lee juga telah lama tidak hadir ke mesyuarat MPP dan sepatutnya menggunakan platform tersebut bagi menyuarakan segala kebimbangan yang dirasai.

“Dalam MPP sendiri, ramai pemimpin yang tidak semestinya sehaluan pendapat. Elizabeth Wong selalunya lantang dengan suara yang berbeza, namun beliau masih setia bersama parti dan menggunakan wadah yang ada untuk memperbetul hala tuju parti.

“Lee sepatutnya lakukan perkara sama kerana platform memang tersedia untuk beliau mengemukakan pandangan dan kebimbangan,” jelas Fahmi.

Menurut Fahmi, kepimpinan parti selama ini sentiasa terbuka untuk berdialog dan mendengar perbezaan pandangan demi kebaikan parti.

“Pintu sentiasa terbuka untuk perbincangan. Malah, beliau pernah berhubung dengan saya sebelum ini tetapi isu ini tidak pernah diangkat olehnya,” katanya lagi.

“Jika ada keinginan untuk mencari penyelesaian, pasti ada jalan ke hadapan,” tambah Fahmi.

Untuk rekod, Lee mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MPP PKR selepas 18 tahun, atas alasan tidak puas hati dengan hala tuju semasa parti serta proses pembuatan keputusan dalaman.

Namun begitu, beliau mengesahkan bahawa beliau masih kekal sebagai ahli PKR dan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.

“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook bagi mengumumkan keputusan tersebut.

Beliau turut menyatakan tidak lagi mampu berperanan dalam struktur kepimpinan parti waktu ini dan akan memberi fokus sebagai Ahli Parlimen di blok penyokong kerajaan.

Lee turut memberi jaminan akan terus komited melaksanakan tanggungjawabnya di Dewan Rakyat, termasuk menyokong usaha Reformasi Institusi yang dijangka dibawa ke Parlimen bulan ini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata pernah meminta penjelasan daripada parti berkenaan beberapa isu pentadbiran yang berkait program khidmat masyarakat di kawasannya, namun mendakwa tidak menerima penjelasan rasmi sehingga kini.

Beliau menambah, perkara-perkara tersebut semakin menyukarkan dirinya untuk terus kekal berfungsi dalam barisan kepimpinan semasa parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here