Home Hiburan Duet Mengejut Jay Chou, JJ Lin Cipta Fenomena di Kalangan Peminat

Duet Mengejut Jay Chou, JJ Lin Cipta Fenomena di Kalangan Peminat

4
0

Fenomena Duet Mengejut Jay Chou, JJ Lin Buat Peminat Tak Keruan, Ramai Tuntut Kolaborasi Penuh

TAIPEI, 12 Jun – Dunia muzik Mandopop sekali lagi digegarkan apabila dua nama terbesar dalam industri itu, Jay Chou dan JJ Lin, bergandingan secara mengejut dalam satu persembahan yang cukup mencuri tumpuan, hingga menyebabkan peminat mereka ‘histeria’ di media sosial.

Segalanya bermula apabila Jay Chou, 46, memuat naik gambar bersama JJ Lin di Instagram pada Selasa lalu, mendedahkan bahawa JJ bakal mendendangkan salah satu lagu terbaharunya.

“Lagu baru mana yang anda ingin dengar JJ Lin nyanyikan semula? Nantikan esok tengah hari!” tulis Jay, merujuk kepada JJ yang digelar peminat sebagai “CD berjalan” kerana keupayaannya menyanyi secara langsung persis rakaman studio.

Perkongsian itu pantas mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat, yang mula meneka lagu mana pula bakal ‘diolah semula’ oleh JJ Lin.

Beberapa pengikut yang teliti turut menyedari JJ pernah mendendangkan sebahagian lagu baharu Jay berjudul It Rained That Day dalam satu siaran langsung, menyebabkan ramai berteka-teki adakah kedua-dua bintang itu sebenarnya sudah merancang sesuatu sejak awal.

Terdapat juga peminat yang mengaitkan gambar tersebut dengan penggambaran rancangan kembara Jay, J-Style Trip, memandangkan hubungan erat mereka serta kebiasaan kedua-duanya ‘menyelit’ dalam projek masing-masing.

Namun, teka-teki itu tidak lama apabila pada malam yang sama, JJ Lin memuat naik satu video menampilkan mereka berdua menyanyikan sebahagian daripada lagu It Rained That Day. “Syiok sangat duet dengan GOAT (Greatest of All Time),” tulis JJ di ruangan kapsyen.

Klip berdurasi pendek itu sudah cukup untuk membuatkan peminat ‘mengamuk’ di ruangan komen, memuji keserasian vokal kedua-dua artis legenda Mandopop tersebut.

Ternyata, pujian bertukar menjadi tuntutan. Peminat mula membanjiri ruang komen dengan permintaan supaya Jay dan JJ menghasilkan kolaborasi sepenuhnya – ada yang mencadangkan lagu duet, tidak kurang juga yang mengimpikan konsert bersama dua ikon muzik ini.

“Bila nak tengok mereka nyanyi bersama lagi?” tanya seorang peminat, manakala yang lain berseloroh, “Dua-dua bila nak keluar lagu bersama? Saya tunggu sampai uban pun dah naik.”

Ada juga yang terus menggesa penganjur hiburan: “Berilah kami konsert JJJay!”

Selain itu, sebahagian peminat teruja menantikan kemungkinan lebih banyak ‘moment’ Jay dan JJ dalam musim terbaru J-Style Trip akan datang.

Kejutan duet itu begitu luar biasa hingga ada peminat mengaku terpaksa ‘tengok dua tiga kali’ untuk pastikan itu benar-benar Jay Chou dan JJ Lin, bukan kembar selebriti yang sebelum ini pernah viral gara-gara kolaborasi palsu mereka.

Apa pun, kali ini memang benar Jay dan JJ muncul bersama – sekaligus membuatkan ramai berharap kejutan ini hanyalah permulaan bagi kerjasama lebih besar antara dua lagenda Mandopop tercinta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here