Home Dunia Ketua pertahanan UK letak jawatan, beri amaran rancangan perbelanjaan Starmer jadikan Britain...

Ketua pertahanan UK letak jawatan, beri amaran rancangan perbelanjaan Starmer jadikan Britain ‘kurang selamat’

3
0

London, 12 Jun – Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer terus berdepan tekanan apabila Setiausaha Pertahanan Britain, John Healey, mengumumkan peletakan jawatannya semalam. Tindakan mengejut itu dibuat susulan kekecewaannya terhadap kegagalan kerajaan dan Kementerian Kewangan untuk memperuntukkan dana mencukupi bagi memperkukuhkan pertahanan negara.

Perletakan jawatan Healey berlaku ketika kedudukan Starmer semakin rapuh, terutama menjelang pilihan raya kecil minggu hadapan yang dijangka bakal mencetuskan desakan bagi menggantikan beliau sebagai pemimpin Parti Buruh.

Dalam surat peletakan jawatan yang dimuat naik ke akaun X miliknya, Healey mendakwa Pelan Pelaburan Pertahanan (DIP) yang masih belum dibentangkan oleh Starmer berisiko menjadikan Britain “kurang selamat”. “Anda tidak mampu, dan Kementerian Kewangan tidak mahu, melaburkan sumber yang diperlukan negara untuk mempertahankan tanah air di saat ancaman semakin meningkat,” katanya.

Beliau menambah, setelah menjelaskan kepada Starmer bahawa beliau tidak sanggup menerima pelan pelaburan yang tidak memenuhi keperluan Angkatan Tentera, tiada pilihan lain selain untuk meletakkan jawatan. Tidak lama selepas itu, Starmer membalas dengan menyatakan pelan perbelanjaan yang dirancang akan membolehkan tentera berubah dan moden, sambil menegaskan: “Saya akan sentiasa melakukan apa yang perlu untuk memastikan keselamatan negara.”

Pada sebelah malam, seorang lagi Ahli Parlimen yang disebut-sebut sebagai calon kepimpinan, Al Carns, turut meletakkan jawatan sebagai Menteri Angkatan Tentera, diikuti pembantu Healey, Pamela Nash. Bekas pegawai tentera, Dan Jarvis diumumkan sebagai pengganti Healey, berpindah daripada jawatan timbalan menteri di Kementerian Dalam Negeri.

Pelan pertahanan tersebut sebenarnya telah berulang kali ditangguhkan, namun Starmer memberikan komitmen ia akan dibentangkan sebelum Sidang Kemuncak NATO di Turki pada 7 Julai nanti.

Kerajaan Starmer yang mendapat mandat pada Julai 2024 setelah 14 tahun pemerintahan Konservatif, berjanji akan meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan mengutamakan NATO, khususnya mengimbangi ancaman dari Rusia. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut berulang kali menggesa sekutu-sekutu NATO supaya meningkatkan perbelanjaan dan mengurangkan kebergantungan pada Washington dalam aspek keselamatan.

Starmer berikrar untuk menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada 2.5 peratus daripada keluaran negara pada tahun depan, sebelum melonjak ke 3 peratus jika Parti Buruh memenangi pilihan raya umum akan datang, yang dijangka pada 2029, dan seterusnya ke 3.5 peratus pada 2035.

Bagaimanapun, beberapa laporan media melaporkan wujud ketidakpuasan hati di belakang tabir berkaitan butiran pelan perbelanjaan itu. Healey dalam suratnya berkata, beliau hanya dimaklumkan secara terperinci berkenaan DIP pada Isnin lalu, dan ia hanya menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada 2.68 peratus pada tahun 2030.

Sumber terdekat dengan Healey memberitahu AFP, tawaran Kementerian Kewangan tidak menyatakan secara jelas tarikh sebenar komitmen mencapai 3 peratus seperti yang dicanangkan.

Menurut Healey lagi, pelan tersebut “jauh daripada mencukupi untuk pertahanan dan negara ketika waktu getir ini”. Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan Parlimen, Ahli Parlimen Parti Buruh Tan Dhesi menegaskan kerajaan perlu mengambil serius amaran Healey dan menganggap perletakan jawatan itu sebagai satu detik yang amat genting.

Starmer kini menghadapi risiko politik besar dalam pertarungan minggu depan apabila Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, bertanding bagi kerusi Parlimen Makerfield. Kedua-dua mereka menyatakan kesediaan untuk menyertai mana-mana pemilihan kepimpinan Parti Buruh, walaupun setakat ini belum ada pertandingan secara rasmi.

Bulan lalu, Wes Streeting turut meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Kesihatan ekoran prestasi buruk Parti Buruh dalam pilihan raya tempatan dan wilayah, serta menyatakan hasrat untuk bertanding jika berlaku pemilihan pucuk pimpinan.

Healey juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi, namun tidak ada petunjuk jelas peletakan jawatannya berkait secara langsung dengan spekulasi kepimpinan.

Menurut Profesor Politik Patrick Diamond dari Queen Mary University of London, perkembangan ini menandakan bahawa Starmer kini “ibarat itik tempang” yang gagal mendapatkan keputusan tegas dalam pemerintahannya sendiri.

Pelan pelaburan yang sepatutnya diumumkan pada akhir 2025 itu telah beberapa kali tertunda, mengecewakan banyak pihak dalam industri dan penyokong pertahanan negara. Peletakan jawatan Healey dilihat akan menambah deretan cabaran politik buat Starmer – yang perlu segera mencari pengganti dan memastikan pelan pelaburan diumumkan, kata Ed Arnold dari think-tank RUSI. — AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here