Home Sukan Kapten Jepun Wataru Endo diketepikan dari Piala Dunia, bersara dari bola sepak...

Kapten Jepun Wataru Endo diketepikan dari Piala Dunia, bersara dari bola sepak antarabangsa

1
0

Kapten Jepun, Wataru Endo, Umum Persaraan, Terlepas Aksi Piala Dunia Kerana Kecederaan

NASHVILLE, 12 Jun – Hasrat skuad bola sepak kebangsaan Jepun untuk mencipta kejutan di Piala Dunia kali ini menerima tamparan besar apabila ketua pasukan mereka, Wataru Endo, terpaksa menarik diri akibat kecederaan, hanya tiga hari sebelum perlawanan pembukaan menentang Belanda.

Pemain tengah Liverpool itu yang sebelum ini gagal pulih daripada kecederaan kaki akhirnya membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada kejohanan terbesar dunia ini dan turut mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa. Tempatnya dalam skuad digantikan pemain kelab Borussia Monchengladbach, Shuto Machino.

Dalam satu kenyataan di laman sosial, Endo, 33, meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi bersama rakan sepasukan, namun tetap memberikan sokongan penuh kepada pasukan negara untuk menyerlah dalam kumpulan F yang turut menempatkan Belanda, Tunisia dan Sweden.

“Akan tiba satu masa nanti Jepun bakal menjulang Piala Dunia. Percayalah, dan teruskan menyokong pasukan kita,” tulisnya di X sambil mengajak seluruh rakyat Jepun bersatu hati memberi semangat kepada skuad negara sepanjang kempen di Amerika Utara.

Endo sebelum ini mengalami kecederaan serius ketika beraksi untuk Liverpool menentang Sunderland pada Februari lalu, namun sempat kembali ke pangkuan skuad Jepun ketika aksi persahabatan menentang Iceland di Tokyo, 31 Mei lalu. Bagaimanapun, dia hanya dapat beraksi separuh masa pertama dan masih bergelut dengan kesakitan ketika kem latihan di Mexico sebelum menuju ke Nashville untuk persiapan terakhir pasukan.

Biarpun sempat mengambil bahagian dalam latihan di lokasi kem utama pasukan, perkembangan kecederaannya tidak seperti diharapkan dan terpaksa melupakan impian beraksi di Piala Dunia kali ini.

Dalam ucapannya, Endo berkata: “Saya sudah cuba lakukan yang terbaik sejak mengalami kecederaan, jadi saya tiada penyesalan.”

“Sudah tentu saya kecewa tidak dapat bermain di Piala Dunia, tetapi saya bangga kerana dapat menjadi kapten skuad ini sejak Piala Dunia Qatar dan membantu membentuk pasukan ini sehingga layak menyasarkan kejuaraan dunia.”

Endo membuat penampilan sulung bersama Jepun pada 2015 dan mengumpul 73 kap, serta menjaringkan empat gol sepanjang kariernya. Dia juga merupakan tunjang utama dalam kejayaan Jepun menewaskan Jerman dan Sepanyol di Qatar. Kini, tugas sebagai kapten di Piala Dunia bakal dipikul oleh pemain pertahanan, Ko Itakura.

“Beliau adalah orang yang paling kecewa dengan keadaan ini, tetapi Wataru sudah menjadi pemimpin sejati buat pasukan ini. Saya akan pikul tanggungjawab ini dengan penuh tekad,” kata Itakura.

Sebelum ini, Jepun turut kehilangan beberapa tonggak utama seperti pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma yang tercedera hamstring kurang seminggu sebelum skuad diumumkan, sementara pemain Monaco, Takumi Minamino juga diketepikan akibat kecederaan ligamen lutut pada Disember.

— AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here