GUADALAJARA, 12 Jun — Perlawanan Piala Dunia antara Korea Selatan dan Republik Czech yang berlangsung semalam di Guadalajara mencatat kehadiran seramai 44,985 penonton, menurut Fifa. Namun begitu, kehadiran ramai tempat duduk kosong di sekitar stadium terus mencetuskan kebimbangan mengenai harga tiket serta permintaan terhadap kejohanan yang julung kali menampilkan 48 pasukan ini.
Situasi ini berbeza dengan perlawanan pembukaan antara tuan rumah bersama, Mexico dan Afrika Selatan, yang berjaya menarik lebih 80,000 penonton memenuhi Stadium Azteca. Sebaliknya, Stadium Guadalajara yang berkapasiti 46,000 tempat duduk, dilihat masih mempunyai banyak barisan kosong, meskipun bandar itu terkenal dengan minat bola sepak yang mendalam. Fenomena ini sekaligus meningkatkan kritikan terhadap strategi komersial Fifa untuk edisi Piala Dunia yang diperluas kali ini.
Sebilangan penyokong yang hadir di stadium menyalahkan harga tiket yang terlalu mahal sebagai punca ramai memilih untuk tidak datang, dan turut membidas model harga tiket yang dilaksanakan oleh Fifa.
Reuters telah menghubungi Fifa untuk mendapatkan maklum balas.
Presiden Fifa, Gianni Infantino, pada Rabu mempertahankan harga tiket yang ditetapkan, walaupun menerima kritikan daripada peminat yang berpendapat kos untuk menghadiri perlawanan kini semakin membebankan. Beliau berkata, harga yang dikenakan adalah setanding dengan acara sukan utama lain di dunia.
Menurut Fifa, lebih 6 juta tiket telah berjaya dijual bagi kejohanan ini, dan sebelum ini juga dilaporkan bahawa minat dari seluruh benua Amerika amat memberangsangkan. Infantino menambah, permintaan tiket melebihi jangkaan, sehingga “10 kali ganda atau lebih”.
Namun begitu, kumpulan seperti Football Supporters Europe (FSE) telah memberi amaran bahawa harga tiket yang terlalu tinggi bakal menjejaskan peluang peminat biasa untuk hadir. FSE turut mendedahkan harga tiket Piala Dunia kali ini melonjak lima kali ganda berbanding edisi 2022 di Qatar.
Dalam perlawanan semalam, Korea Selatan menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi Kumpulan A.









