Home Hiburan M. Nasir fail saman RM5 juta terhadap MyTeksi berhubung minuman didakwa dipasarkan...

M. Nasir fail saman RM5 juta terhadap MyTeksi berhubung minuman didakwa dipasarkan atas namanya tanpa kebenaran

4
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Legenda muzik negara, Datuk M. Nasir bersama syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd, telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat MyTeksi Sdn Bhd selepas didakwa menggunakan nama dan jenama beliau tanpa kebenaran untuk tujuan promosi komersial di platformnya.

Saman tersebut difailkan oleh M. Nasir, 69, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed, bersama Luncai Emas melalui firma guaman Zulpadli & Edham di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 April lalu dengan menamakan MyTeksi sebagai defendan.

Pengurusan kes telah ditetapkan pada 29 Jun melalui e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar S. Malarselvi.

Berdasarkan dokumen saman dan pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, pihak plaintif mendakwa MyTeksi telah menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” dalam promosi minuman kopi yang dipasarkan sebagai “Kegemaran M. Nasir” menerusi akaun Instagram rasmi syarikat berkenaan tanpa sebarang kebenaran.

Menurut plaintif, pada 23 April 2025, pihak defendan telah memuat naik satu iklan di akaun Instagram @grabmy dan @grabfoodmy yang memaparkan secawan serta setin kopi berlabel “GrabFood” dan “GrabMart” bagi mempromosi produk serta perkhidmatan yang ditawarkan di platform syarikat itu.

“Selain iklan berkenaan, kapsyen yang digunakan adalah ‘Kopi-kopi kegemaran M Nasir’ serta frasa ‘Dua-dua pun Grab ada’, yang secara langsung merujuk kepada M. Nasir dan boleh menimbulkan tanggapan seolah-olah produk serta perkhidmatan tersebut berkait rapat atau mendapat kerjasama daripada beliau,” jelas pernyataan tuntutan itu.

Tambah plaintif lagi, penggunaan nama dan jenama “M. Nasir” tanpa keizinan telah menyebabkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjejaskan nama baik serta reputasi penyanyi itu.

Pihak plaintif juga menegaskan bahawa iklan berkenaan tidak memaparkan sebarang penafian atau penjelasan bahawa rujukan kepada “M. Nasir” tidak bermaksud melibatkan artis berkenaan atau beliau tiada sebarang kaitan dengan pihak defendan mahupun produk dan perkhidmatan yang dipromosikan.

Plaintif berpendapat tindakan menggunakan nama M. Nasir untuk tujuan komersial adalah jelas bertujuan mengambil kesempatan atas populariti dan nilai komersial beliau demi mempromosikan produk defendan tanpa pengetahuan atau persetujuan dari pihak mereka.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan berjumlah RM3 juta, ganti rugi teruk sebanyak RM2 juta, serta faedah dan kos berkaitan.

Plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang defendan serta ejen dan pekerjanya daripada terus menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” untuk tujuan komersial.

Selain itu, plaintif juga memohon perintah mahkamah supaya defendan mendedahkan keuntungan hasil jualan minuman yang diiklankan di bawah nama “Kegemaran M. Nasir”. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here