SAO PAULO, 14 Jun — Seorang wanita berusia 21 tahun telah terkorban pada hari Sabtu di Brazil selepas terjun dari platform setinggi 40 meter dalam aktiviti loncat tali tanpa dilengkapi tali keselamatan, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Insiden tragis ini berlaku di Jambatan Ponte do Esqueleto di Limeira, sebuah bandar di negeri Sao Paulo di tenggara Brazil.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa para instruktur gagal untuk melengkapkan wanita tersebut dengan peralatan keselamatan yang sepatutnya, menyebabkan beliau terjatuh ke tanah.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan beberapa individu mengangkat mangsa ke tempat loncat. Beberapa saat selepas beliau dilepaskan, suara jeritan panik kedengaran ketika orang ramai memberi amaran tentang ketiadaan tali keselamatan.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa dua suspek cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran selepas kemalangan tersebut. Mereka kemudian ditemui semasa operasi pencarian. Secara keseluruhan, enam orang telah ditahan dan dibawa untuk disoal siasat oleh pihak polis.
Pihak bomba dan pasukan perubatan kecemasan telah dihantar ke tempat kejadian, namun wanita tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. — Bernama









