Home Gaya Hidup Usaha Selamatkan Orang Utan Tapanuli Selepas Bencana Pupuskan 7% Populasi

Usaha Selamatkan Orang Utan Tapanuli Selepas Bencana Pupuskan 7% Populasi

5
0

JAKARTA, 12 Jun — Bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda pulau Sumatera tahun lalu telah membawa kesan tragis kepada populasi orang utan Tapanuli yang sangat terancam, menurut satu laporan baharu yang dikeluarkan pada Rabu. Sekurang-kurangnya 7 peratus daripada jumlah keseluruhan spesies orang utan ini musnah akibat bencana tersebut.

Bencana alam yang dicetuskan oleh siklon itu telah meragut sekurang-kurangnya 1,200 nyawa dan merosakkan sekitar 300,000 kediaman. Organisasi alam sekitar menyatakan kerosakan meluas ini berpunca daripada kadar pembalakan dan penebangan hutan yang begitu pesat di Sumatera.

Laporan tersebut mendedahkan, sekurang-kurangnya 58 ekor orang utan Tapanuli — yang hanya ditemui di kawasan sekitar hutan Batang Toru di utara Sumatera — maut dalam kejadian tersebut. Tinjauan yang dijalankan di blok barat hutan Batang Toru, kawasan yang menempatkan majoriti daripada hanya sekitar 800 ekor orang utan Tapanuli yang tinggal di dunia, mengesahkan kehilangan ini.

Laporan yang dijalankan secara bersama oleh Borneo Futures (berpangkalan di Brunei), World Weather Attribution dan Liverpool John Moores University itu tidak meliputi keseluruhan kawasan hutan lain, menyebabkan jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi.

Penyelidik menggunakan analisis imej satelit ke atas kerosakan di kawasan barat Batang Toru serta rekod sejarah populasi orang utan di situ bagi mendapatkan anggaran kehilangan ini.

Menurut laporan itu lagi, perubahan iklim yang didorong oleh manusia telah meningkatkan kekerapan dan intensiti hujan luar biasa di sekitar Selat Melaka, sekali gus meletakkan habitat orang utan Tapanuli dalam bahaya yang lebih besar.

Erik Meijaard dari Borneo Futures, selaku penulis utama kajian, menjelaskan hujan lebat menyebabkan tanah menjadi terlalu lembap sehingga kawasan bukit utama runtuh dengan laju, mengakibatkan tanah runtuh yang tidak dapat dielakkan.

“Jika orang utan terperangkap. apabila apa sahaja turun dengan kelajuan tinggi, peluang untuk terus hidup hampir tiada. Keadaan ini amat membimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, kehilangan pada kadar ini sangat besar bagi spesies yang jumlah keseluruhan populasi amat kecil. Apabila dicampur dengan tekanan berterusan seperti kemusnahan habitat dan konflik dengan manusia, perlunya pelaksanaan segera dan penyaluran sumber untuk Pelan Tindakan Spesies yang terancang semakin kritikal.

Sementara itu, Panut Hadisiswoyo, turut menggesa kerajaan Indonesia agar bekerjasama dengan NGO dan penyelidik bagi menghentikan kejatuhan populasi orang utan Tapanuli.

“Kita boleh kurangkan aktiviti pemburuan haram dan mungkin populasi akan dapat distabilkan,” katanya sambil menekankan bahawa semua pihak harus memberi perhatian kepada pengurusan tanah yang kurang baik, salah satu punca utama kemerosotan spesies itu.

— Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here