Home Sukan Toh Ee Wei masih berharap keajaiban Kejohanan Dunia, Sukan Asia walaupun cedera...

Toh Ee Wei masih berharap keajaiban Kejohanan Dunia, Sukan Asia walaupun cedera lutut

5
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Pemain beregu campuran nombor satu negara, Toh Ee Wei, masih belum menutup peluang untuk mempertahankan kejuaraan dunia di New Delhi serta beraksi di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, meskipun kini sedang bergelut dengan kecederaan serius pada lutut kirinya.

Ee Wei, yang kini dalam misi pulih daripada koyakan separa ligamen anterior cruciate (ACL), mengakui situasi ini amat mencabar namun tetap berharap satu keajaiban akan berlaku agar dia dapat kembali ke gelanggang tepat pada waktunya untuk kedua-dua kejohanan berprestij itu.

“Buat masa ini, saya belum dapat sahkan penyertaan ke Kejohanan Dunia dan Sukan Asia. Mungkin saya perlu berdoa agar diberikan keajaiban untuk cepat pulih,” kata Ee Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Menurutnya lagi, beliau masih menanti penilaian seterusnya melalui imbasan magnetic resonance imaging (MRI) sebelum membuat keputusan sama ada perlu menjalani pembedahan ataupun tidak.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Ee Wei mengalami kecederaan tersebut ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura 2026.

Kejohanan Dunia dijadual berlangsung di New Delhi dari 17 hingga 23 Ogos, manakala Sukan Asia akan bermula pada 19 September hingga 4 Oktober di Jepun.

Pada tahun lalu, Ee Wei bersama gandingannya, Chen Tang Jie, mencipta sejarah apabila menjadi beregu campuran pertama negara menjulang gelaran dunia selepas menewaskan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam aksi final di Paris.

Namun, Ee Wei tidak menafikan bahawa kecederaan ini memberi tamparan emosi besar buat dirinya.

“Saya terima dengan reda, mungkin ini masanya untuk saya berehat seketika. Apa yang penting sekarang, saya perlu disiplin dan ikut segala arahan jurulatih serta pegawai fisioterapi sepanjang tempoh pemulihan,” ujarnya.

Pemain berusia 25 tahun itu turut menyeru rakan gandingannya, Tang Jie, supaya menggunakan peluang bersama pasangan sementara dengan sebaik mungkin sepanjang ketiadaannya di dalam pasukan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, sebelum ini mengesahkan bahawa Tang Jie akan digandingkan dengan Clarissa San untuk sementara waktu, bermula di Terbuka China yang akan berlangsung di Jiangsu dari 21 hingga 26 Julai ini.

Ee Wei turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, atas segala sokongan yang diterima sepanjang proses pemulihan kecederaannya.

Sumber: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here