Home Dunia Beijing berkata penganalisis AS ditahan atas dakwaan kegiatan pengintipan

Beijing berkata penganalisis AS ditahan atas dakwaan kegiatan pengintipan

5
0

Penganalisis Politik Ditahan di China, Dituduh Terlibat Aktiviti Perisikan

BEIJING, 12 Jun — Seorang warganegara Amerika Syarikat yang juga pengasas sebuah badan pemikir berkaitan isu Myanmar kini sedang ditahan oleh pihak berkuasa China atas dakwaan melakukan kegiatan perisikan.

Kementerian Luar China hari ini mengesahkan penahanan Min Zin, pengasas Institute for Strategy and Policy Myanmar (ISP-M), kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perisikan yang dikatakan mengancam keselamatan negara China. Kenyataan itu dibuat oleh jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, dalam satu sidang media, namun tiada butiran lanjut mengenai tuduhan yang dikenakan diberikan setakat ini.

ISP-M merupakan sebuah badan pemikir yang menjalankan kajian berkaitan landskap politik, sumber dan konflik di Myanmar yang kini bergolak selepas rampasan kuasa pada tahun 2021. Beberapa laporan yang diterbitkan ISP-M turut mengupas pengaruh China di kawasan sempadan Myanmar, di mana Beijing didakwa menyokong kumpulan bersenjata tertentu demi kepentingan nasionalnya.

Sehingga kini tidak jelas sama ada Min Zin sedang menjalankan sebarang penyelidikan ketika beliau ditahan. Sumber yang mempunyai kaitan profesional dengan ISP-M memaklumkan kepada AFP, penahanan tersebut berlaku di Lapangan Terbang Kunming, wilayah Yunnan, yang bersempadan dengan Myanmar, pada 3 Jun lalu.

“Beliau berada di situ untuk menghadiri satu mesyuarat,” kata seorang lagi individu rapat dengan Min Zin. Kedua-dua sumber tersebut enggan dikenali kerana sensiviti kes ini.

Pihak berkuasa China juga telah memaklumkan kepada konsulat Amerika Syarikat di Guangzhou mengenai kes berkenaan. “Keluarga serta rakan sekerja beliau kini sedang berhubung dengan pejabat konsulat tersebut untuk mendapatkan perkembangan lanjut. Kami tahu keluarga beliau sangat bimbang,” tambah salah seorang sumber.

Setakat laporan ini ditulis, tiada maklum balas diterima daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat mahupun pihak pengurusan ISP-M berhubung insiden penahanan Min Zin.

ISP-M kini beroperasi di Chiang Mai, Thailand, yang menjadi lokasi tumpuan pelarian politik Myanmar sejak kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan. Menurut penganalisis, termasuk dari ISP-M sendiri, China dikenal pasti memainkan peranan menyokong sama ada pihak tentera mahupun kumpulan pemberontak di Myanmar berdasarkan kepentingan ekonomi dan keselamatan mereka yang berubah-ubah.

— AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here