Peniaga Barang Kemas Lubnan Lega, Mahkamah Arah Rosmah Mansor Bayar RM67.5 Juta Selepas Lapan Tahun
KUALA LUMPUR, 12 Jun — Selepas lebih lapan tahun menanti keadilan, peniaga barang kemas terkenal dari Lubnan, Samer Halimeh akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta berikutan kegagalan beliau memulangkan 43 utas barang kemas mewah yang dipinjamkan secara konsainan.
Pengasas Global Royalty Trading SAL itu menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai bukti integriti dan kebebasan badan kehakiman Malaysia. Beliau berkata keputusan itu membuktikan bahawa sistem perundangan negara berjalan secara adil walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang kes ini berlangsung, lapor New Straits Times.
“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini. Mahkamah Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa mereka beroperasi secara bebas,” katanya.
Menurut Halimeh, sepanjang lapan tahun kes itu berjalan, pelbagai tohmahan dilemparkan kononnya tuntutannya palsu dan dia cuba dijatuhkan kredibilitinya.
“Perjalanan untuk mendapatkan keadilan bukan mudah, malah terdapat juga kempen di media sosial yang mempertikaikan keaslian syarikat dan tuntutan kami,” kata ahli perniagaan berusia 51 tahun itu.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pasukan guamannya yang konsisten mempertahankan kes berkenaan sehingga berjaya. Halimeh berharap isu ini kini dapat diselesaikan dengan baik.
“Tidak ramai yang percaya saya akan dapat keadilan di Malaysia. Namun, keadilan akhirnya berpihak kepada saya,” ujarnya lagi.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah supaya membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan selepas didapati bertanggungjawab kerana gagal memulangkan 43 utas barang kemas yang dipinjam atas dasar konsainan.
Peguam Halimeh, Datuk David Gurupatham memaklumkan bahawa pihaknya akan menggunakan semua saluran undang-undang yang ada untuk mendapatkan bayaran tersebut, termasuk kemungkinan memfailkan prosiding kebankrapan sebagai pilihan terakhir.
Kes tersebut bermula apabila Global Royalty mendakwa mereka menghantar 44 utas barang kemas mewah bernilai AS$14.57 juta kepada Rosmah pada tahun 2018 untuk tujuan tontonan di bawah perjanjian konsainan.
Mahkamah mendapati Rosmah menerima barang kemas tersebut, tidak membeli mahupun membuat bayaran, dan gagal memulangkan 43 utas barang kemas tersebut.
Hanya satu utas barang kemas, iaitu gelang berlian dan zamrud, berjaya diperolehi semula dan dikembalikan kepada syarikat Lubnan itu menerusi prosiding pelucuthakan yang berasingan.
Dalam penghakiman tersebut, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Rosmah gagal membuktikan dakwaannya bahawa barang kemas itu telah disita oleh pihak polis dalam serbuan pada tahun 2018 yang berkaitan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, suaminya.







