Home Sukan Iran berlatih di Mexico menjelang Piala Dunia dalam bayangan konflik dengan AS

Iran berlatih di Mexico menjelang Piala Dunia dalam bayangan konflik dengan AS

5
0

Tijuana, 12 Jun – Skuad bola sepak Iran akhirnya tampil buat pertama kali di hadapan media pada sesi latihan di kem latihan mereka di Mexico, semalam, di tengah-tengah ketegangan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang terus membayangi kehadiran mereka ke kejohanan Piala Dunia kali ini.

Pasukan Iran, yang sebelum ini dijadualkan berkem latihan di Arizona, memilih untuk berpindah ke Tijuana, Mexico, dan sejak ketibaan mereka Ahad lalu di kejohanan ini, pasukan itu lebih banyak berdiam diri daripada memberi kenyataan media.

Bagi sesi latihan semalam, media hanya diberikan masa selama 15 minit untuk menyaksikan sekumpulan kecil pemain menjalani rutin pemanas badan.

Daripada keseluruhan 26 pemain skuad “Team Melli”, hanya sekitar 12 pemain yang kelihatan hadir menjalani latihan, dengan penyerang utama, Mehdi Taremi antara yang tidak kelihatan.

Pemain-pemain Iran, yang mengenakan jersi hijau, memulakan latihan dengan larian ringan di padang latihan kelab tempatan, Xolos.

Mereka kemudiannya meneruskan sesi dengan regangan badan serta latihan kekuatan asas di atas tikar senaman.

Iran dijadualkan membuka tirai kempen Piala Dunia mereka menentang New Zealand di Los Angeles, Isnin ini.

Seorang pegawai pasukan mengesahkan kepada AFP bahawa skuad Iran akan memasuki AS pada Ahad dan akan bermalam di sana sebelum aksi tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, duta Iran ke Mexico memaklumkan sebelum ini bahawa pasukan itu hanya dibenarkan memasuki AS pada hari perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu sejurus tamat perlawanan.

Penyertaan Iran dalam Piala Dunia kali ini – yang dihoskan bersama AS, Mexico dan Kanada – berlaku tiga bulan selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, mencetuskan ketegangan yang turut menyeret beberapa negara Timur Tengah serta menggegarkan ekonomi dunia.

Sesi latihan terbuka semalam berlangsung ketika Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan satu “penyelesaian hebat” bagi menamatkan konflik dengan Iran, dan menyatakan keyakinan perjanjian itu boleh dimuktamadkan di Eropah seawal hujung minggu ini. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here