Home Gaya Hidup Robotaksi Disokong Baidu Bakal Uji Jalan di London dalam Masa Terdekat

Robotaksi Disokong Baidu Bakal Uji Jalan di London dalam Masa Terdekat

2
0

LONDON, 11 Jun – Syarikat teknologi gergasi China, Baidu, akan memulakan ujian kenderaan autonomi miliknya di jalan raya London dalam beberapa minggu akan datang, menurut rakan kerjasama mereka, Lyft, semalam.

Langkah ini dijangka merancakkan lagi perkembangan teknologi teksi tanpa pemandu di ibu kota Britain, apatah lagi ketika syarikat permulaan dari UK, Wayve, baru-baru ini mengumumkan telah bersedia memperkenalkan perkhidmatan robotaxi mereka bersama Uber seawal musim panas ini.

Pengarah eksekutif Lyft, Jeremy Bird, memberitahu AFP bahawa beberapa unit kenderaan autonomi telahpun tiba di London, namun masih perlu menjalani proses pemeriksaan dan ujian keselamatan sebelum boleh beroperasi di jalan raya awam dalam waktu terdekat.

“Kenderaan ini akan menjalani pemeriksaan serta ujian terlebih dahulu… dan selepas itu akan mula beroperasi di jalanan,” kata Bird. Katanya lagi, syarikat itu berharap perkhidmatan komersial pertama dapat dilancarkan sebelum akhir tahun ini.

Jika berjalan lancar, London bakal menjadi lokasi pertama di Eropah yang menyaksikan pelancaran komersial teksi tanpa pemandu, setelah perkhidmatan serupa telah pun dilaksanakan di Amerika Syarikat dan China.

Bagaimanapun, pengguna di London masih perlu menunggu sedikit masa sebelum dapat menikmati perjalanan sepenuhnya tanpa pemandu. Wayve memaklumkan fasa permulaan melibatkan operator yang akan terus memantau kenderaan semasa operasi.

Sementara itu, Waymo, anak syarikat teknologi Alphabet (induk Google) juga bercadang melancarkan kenderaan autonominya di London seawal penghujung tahun 2026, setelah beberapa bulan melakukan pemetaan terperinci di ibu kota tersebut.

Waymo kini beroperasi di 11 bandar utama di Amerika Syarikat, manakala Apollo Go — subsidiari kenderaan autonomi Baidu — telah melebarkan operasi di 27 bandar di China serta di Dubai.

Pelaksanaan perkhidmatan di London masih bergantung kepada rangka kerja undang-undang kenderaan automasi di UK dan kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Bird, pihak Lyft akan bertanggungjawab menguruskan armada kenderaan termasuk operasi tempahan melalui aplikasi mereka di London, manakala Baidu bertindak sebagai pengeluar serta penyedia utama teknologi.

Tambahnya lagi, kadar tambang untuk perkhidmatan robotaxi dijangka hampir sama dengan kadar teksi yang dipandu manusia pada peringkat awal pelancaran nanti.

Baidu sebelum ini melaporkan, perkhidmatan Apollo Go telah merekodkan sebanyak 3.4 juta perjalanan tanpa pemandu pada suku akhir tahun lalu – peningkatan sebanyak 200 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Ketika ini, mereka memiliki lebih 500 buah kenderaan autonomi yang beroperasi di Wuhan, China tengah. — AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here