Home Gaya Hidup Labubu gegar dunia bola, cipta sejarah IP pertama China di Piala Dunia...

Labubu gegar dunia bola, cipta sejarah IP pertama China di Piala Dunia FIFA

3
0

Mexico City, 12 Jun — Suasana meriah dan penuh warna menghiasi pembukaan Piala Dunia Fifa 2026 pada Rabu, namun di sebalik kemeriahan itu, perhatian ramai tertumpu kepada satu wajah ikonik dari China yang menjadi tumpuan para peminat bola sepak dari serata dunia, lapor Xinhua.

Watak Labubu, karakter utama daripada siri The Monsters keluaran Pop Mart, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai tetamu khas di majlis pembukaan kejohanan berprestij itu, sekali gus menjadi harta intelek asli dari China yang pertama menyertai sambutan pembukaan Piala Dunia Fifa.

Dua maskot Labubu lengkap dengan jersi bola sepak turut serta dalam acara tersebut, berkongsi keterujaan dan semangat bola sepak bersama puluhan ribu penonton yang hadir dari seluruh dunia.

Keterampilan Labubu mudah dikenali menerusi sembilan batang gigi dan telinga yang runcing menegak. Dicipta pada tahun 2015, Labubu bukan sekadar figura mainan reka bentuk, malah kini menjadi antara ikon budaya pop China yang terkenal di peringkat global.

Bersempena dengan penganjuran Piala Dunia kali ini, Labubu telah melakar pelbagai kerjasama berkaitan temasya tersebut. Pada April lalu, koleksi khas edisi terhad dengan tema Piala Dunia telah dilancarkan, diikuti kemunculan karakter ini dalam video muzik rasmi lagu tema Piala Dunia pada Mei — sekaligus menjadikan Labubu sebagai jenama figura pereka pertama yang pernah tampil dalam video muzik rasmi Fifa World Cup.

Penyertaan di Piala Dunia 2026 juga menandakan kali pertama Labubu menjejakkan kaki ke Mexico. Sepanjang sesi persiapan menjelang pembukaan, Labubu turut berpeluang melawat mercu tanda popular, mencuba hidangan tradisional Mexico dan beramah mesra bersama penduduk serta pelancong tempatan.

Populariti global Labubu sejajar dengan usaha Pop Mart yang agresif mengembangkan empayar ke luar negara. Menjelang akhir 2025, syarikat itu telah mengendalikan 64 cawangan di rantau Amerika, termasuk cawangan pertama di Kanada, sekali gus memperkukuh kehadiran mereka di arena antarabangsa.

— Bernama-Xinhua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here