Harapan Industri Pelancongan Amerika Tidak Kesampaian, Piala Dunia Gagal Tarik Ramai Pelancong Akibat Kos & Isu Visa
Ketika baki hanya beberapa jam sebelum perlawanan pertama Piala Dunia bermula di Amerika Syarikat, industri pelancongan dan perhotelan negara itu masih belum merasai lonjakan ketibaan pelancong seperti yang diharap-harapkan sebelum ini. Piala Dunia yang dianggap sebagai acara sukan terbesar tahun ini sepatutnya membawa limpahan besar kepada sektor pelancongan, namun realitinya masih jauh berbeza.
Bagi tempoh bertahun-tahun, kejohanan ini dijangka menjadi penyelamat kepada industri pelancongan Amerika yang sedang bergelut dengan kejatuhan pelawat antarabangsa. Namun, limpahan penyokong yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba, memaksa hotel-hotel untuk menurunkan kadar harga bilik. Tempahan penerbangan juga merosot kerana harga tiket perlawanan yang mencecah paras tinggi.
Faktor harga tiket masuk stadium yang tinggi, kesukaran mendapatkan visa dan urusan logistik yang rumit telah menjadi halangan utama, bukan sahaja kepada penyokong dari luar negara bahkan pelancong domestik. Minat orang Amerika sendiri terhadap bola sepak juga masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara Eropah.
“Secara keseluruhan, ia satu kekecewaan. Tiada perkataan lain yang dapat menggambarkannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel New York City, Vijay Dandapani. Persatuan itu kini menurunkan unjuran hasil bilik hotel yang berkaitan dengan Piala Dunia sebanyak 60 peratus kepada anggaran AS$60 juta (RM244 juta).
Lonjakan Tempahan Saat Akhir Masih Belum Muncul
Menurut data Cirium, tempahan penerbangan dari Eropah ke kebanyakan bandar tuan rumah untuk Jun dan Julai secara purata menurun sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun lalu, walaupun trend penurunan ini sudah bermula tahun sebelumnya. Tempahan ke New York, lokasi final pada 19 Julai, bahkan menjunam hampir 15.8 peratus.
Fifa sebelum ini mengunjurkan seramai 1.2 juta penyokong akan membanjiri New York, namun Persatuan Hotel New York hanya menjangkakan sekitar 500,000 orang. Terdapat sedikit peningkatan tempahan daripada penyokong UK dan Norway, namun secara keseluruhannya permintaan masih muram.
Banyak hotel utama, termasuk New York Hilton Midtown, terpaksa menurunkan harga sehingga separuh daripada kadar asal, kepada sekitar AS$415 semalam. Walaupun sebelum ini Hilton melaporkan tempahan kukuh di New York, syarikat Marriott pula berkata tempahan masih perlahan kerana ramai penyokong menanti perlawanan separuh akhir untuk membuat keputusan perjalanan.
Sebahagian penyokong setia malah memilih untuk tidak hadir ke Piala Dunia kali ini. “Ramai kawan saya ke Ibiza untuk tonton perlawanan di televisyen dengan kos jauh lebih rendah. Ada juga yang pilih ke Las Vegas. Masih keluar belanja, tapi jauh lebih murah berbanding tiket, penerbangan, hotel dan pengangkutan ke stadium,” kata Andy Milne, peminat tegar England.
Bagi penyokong yang berkemampuan pula, mereka lebih cenderung menunggu keputusan peringkat kumpulan sebelum membuat keputusan perjalanan akhir.
Kos Tiket Tinggi Dan Isu Visa Jadi Penghalang
Peminat dari lebih separuh negara yang layak bertanding memerlukan visa untuk masuk ke Amerika Syarikat, menambah kos dan ketidakpastian bagi mereka yang sudahpun risau dengan kawalan kemasukan yang lebih ketat. Terdapat juga kes di mana seorang pengadil dari Somalia dihalang masuk kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu.
Dasar penetapan harga tiket oleh Fifa turut menimbulkan ketidakpuasan hati. Organisasi itu memperkenalkan harga asas paling tinggi dalam sejarah, selain penetapan harga dinamik yang menyebabkan harga meningkat semakin dekat dengan hari perlawanan. Polisi penjualan semula tiket tanpa had pula melonjakkan harga ke paras yang lebih membebankan, membawa kepada siasatan pihak berkuasa.
Di beberapa bandar utama seperti New York dan Miami, harga tiket termurah mencecah hampir AS$1,000. Menurut Tickitto, walaupun harga mungkin turun separuh pada saat akhir, permintaan masih bakal kekal perlahan kerana pelancong luar negara masih berdepan cabaran mendapatkan visa dan mengatur perjalanan dalam tempoh singkat.
Namun begitu, sewaan kediaman percutian seperti Airbnb menjadi satu-satunya segmen yang mencatatkan prestasi memberangsangkan. Airbnb melaporkan permintaan tertinggi dalam sejarah untuk acara kali ini, dengan tempahan kediaman mampu milik di bandar-bandar tuan rumah seperti Boston dan Los Angeles melonjak. Menurut AirDNA, kadar harian purata kini mencecah AS$335 selepas menjadi pilihan penyokong yang ingin berkongsi kos penginapan dan mencari alternatif lebih murah.
“Jelas sekali permintaan percutian meningkat di semua bandar ini kerana Piala Dunia. Itu tidak boleh dinafikan,” kata Jamie Lane, Ketua Ekonomi AirDNA.
— Reuters









