SHAH ALAM, 4 Jun — Nama Manis by WildFlour kini kian dikenali di Shah Alam, terutamanya bagi mereka yang mencari pengalaman makan santai dengan sentuhan memori dan kreativiti Malaysia. Di sebalik nama yang ringkas dan mudah diingat ini, tersembunyi kisah pasangan suami isteri yang menumpahkan seluruh jiwa mereka ke dalam setiap sajian yang dihidang.
Pengasas bersama, Shazana Shukor, sudah biasa dengan dunia makanan sejak kecil. “Keluarga saya memang suka makan dan memasak. Setiap percutian pun dirancang ikut tempat makan yang mahu kami cuba,” kata Shazana, yang sejak usia 12 tahun sudah mula mengumpul dan mencuba resipi pelbagai jenis kek dan lauk, hasil dorongan ibu bapa.
Minat Shazana terhadap dunia kulinari semakin mendalam sehingga beliau menjadi tempat keluarga ‘menguji’ segala masakan baharu. Dari situ, bakat dan kemahirannya terus diasah, walaupun perjalanan ke dunia perniagaan makanan tidak bermula serta-merta.
Laksa Nyonya. — Gambar ihsan Manis by WildFlour
Kini, pelanggan tetap Manis by WildFlour masing-masing punya pilihan kegemaran — dari Laksa Nyonya yang pedas menyelerakan, sehinggalah Pulut Hitam Cheese Tart yang unik dan penuh nostalgia.
Berbeza dengan Shazana, suaminya Nurudin Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Din, berasal dari bidang kejuruteraan. Namun, minat terhadap dunia makanan sentiasa membara dalam dirinya dan akhirnya membawanya ke dunia kafe selepas pandemik COVID-19, apabila beliau terpaksa mencari haluan baharu selepas diberhentikan kerja.
“Minat saya adalah untuk berkhidmat kepada pelanggan. Saya suka melihat orang gembira dengan layanan dan pengalaman yang kami wujudkan,” ujar Din, yang kini bertanggungjawab dalam pemasaran dan hubungan pelanggan.
Pulut Hitam Cheese Tart. — Gambar ihsan Manis by WildFlour
Kisah WildFlour bermula ketika negara melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020. Ketika itu, Shazana menjual roti sourdough dan quiche dari rumah untuk menampung pendapatan keluarga. Jenama ‘WildFlour’ diambil bersempena penggunaan yis liar (wild yeast) dalam produk utama mereka – roti sourdough.
Lama-kelamaan, perniagaan kecil-kecilan itu semakin berkembang selepas beliau mendapat kepercayaan bekas majikan, Basira Yeusuff, untuk terus menghasilkan bundt cake khas menu tersebut. Namun, runtunan kejayaan juga datang dengan cabaran baharu, apabila dapur kecil di rumah tidak lagi mampu menampung permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
Sebaik sahaja mendapat peluang untuk menyewa premis di kawasan kejiranan mereka, pasangan ini nekad membuka kafe fizikal. — Gambar ihsan Manis by WildFlour
Peluang membuka premis fizikal di Seksyen 6, Shah Alam akhirnya tiba. Nama ‘Manis’ dipilih kerana mahu resonasi kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk Melayu, terutamanya warga emas yang sentiasa mencari sajian tradisional dekat di hati. Untuk kekal dengan akar asal, akhirnya jenama Manis by WildFlour pun terbentuk.
Menu di sini lebih menjurus kepada sajian keselesaan (comfort food) yang diinspirasikan daripada citarasa peribadi dan keluarga. Menurut Shazana, “Saya suka bereksperimen dengan rasa yang menyeronokkan. Kebanyakan resipi memang makanan yang saya biasa buat untuk keluarga.”
Antara kek bundt yang menjadi ikon kafe adalah Limau Nipis Bundt yang segar, Bundt Earl Grey beraroma bunga, serta Bundt Kacang Tumbuk yang seimbang antara manis, masin dan lemak kekacang.
Limau Nipis Bundt (kiri) dan Kacang Tumbuk Bundt (kanan), antara menu yang menjadi pilihan pelanggan.— Gambar ihsan Manis by WildFlour
Bukan setakat sajian manis, minuman kopi di sini turut menjadi sebutan ramai, khususnya Mont Blanc — kopi unik berinspirasikan Melbourne, yang menggabungkan rasa citrus, krim dan kopi. Mont Blanc menjadi antara menu kekal setelah ramai pelanggan jatuh cinta dengan keistimewaannya sejak awal lagi.
Menu kopi pelbagai pilihan termasuk Mont Blanc — kopi dengan sentuhan citrus yang unik. — Gambar ihsan Manis by WildFlour
Bagi Shazana dan Din, menjalankan kafe bukanlah perjalanan yang mudah. Isu kekurangan kakitangan, pelanggan yang turun naik dan cabaran operasi sentiasa ada. Namun bagi Shazana, kunci utamanya adalah tidak pernah berkompromi pada mutu makanan yang dihidangkan.
“Kalau kurang kakitangan, saya kecilkan menu. Kalau pelanggan kurang, kami gunakan masa itu untuk latihan atau pembersihan mendalam. Tetapi kualiti tidak pernah kami kompromi,” katanya tegas.
Keistimewaan lain Manis by WildFlour adalah menu bermusim yang dicipta berdasarkan kreativiti spontan; misalnya Tomyum Chicken Quiche berinspirasikan masakan Thai, serta Golden Huat Bundt — kek butter limau kasturi dan nenas khas musim Tahun Baru Cina.
Menu bermusim seperti Tomyum Chicken Quiche (kiri) dan Golden Huat Bundt (kanan) sentiasa mendapat sambutan. — Gambar ihsan Manis by WildFlour
Bagi Shazana, kekuatan sebenar Manis by WildFlour adalah komuniti. Kolaborasi dan acara anjuran mereka membuktikan pelanggan menghargai ruang yang mesra untuk berkumpul bersama. Kini tumpuan mereka bukan lagi untuk berkembang besar-besaran, tetapi untuk terus menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian penduduk setempat.
“Harapan saya, Manis akan jadi tempat berlindung yang menenangkan — ruang yang selesa, mudah didekati dan sentiasa buat orang rasa dialu-alukan,” kata Shazana.
Manis by WildFlour
5G-4, Jalan Cenderawasih 6/7,
Seksyen 6, Shah Alam.
Dibuka setiap hari (tutup Ahad) 10 pagi – 7 malam.
Telefon: 017-240 9690
Instagram: https://www.instagram.com/manisbywildflour/









