Home Cita Rasa Ranie Saidi abadikan memori nenek dengan resipi warisan, hasilkan buku masakan terlaris...

Ranie Saidi abadikan memori nenek dengan resipi warisan, hasilkan buku masakan terlaris dan kini perjuang martabat makanan Melayu di London

3
0

LONDON, 25 Mei — Inspirasi juadah perkahwinan Melayu kini mewarnai pentas antarabangsa menerusi buku masakan pertama Ranie Saidi, ‘The Malay Cook’, yang berjaya mencuri perhatian masyarakat di United Kingdom (UK) selepas mencapai 1,000 pra-tempahan sebelum pelancarannya lagi.

Buku hasil air tangan Ranie, anak Malaysia yang menetap di London, menjadi saluran untuk beliau mengabadikan warisan resipi arwah neneknya, Che Aminah Ismail. Dari Ayam Masak Merah ala Matrimonial Chicken kepada Pajeri Nenas, sehinggalah ke pencuci mulut seperti Coconut Pandan Layered Custard dan Pandan Tiramisu — semuanya diinspirasikan daripada menu wajib di kenduri-kenduri perkahwinan Melayu.

Ranie Saidi di pelbagai supper club di London memperkenalkan makanan Melayu.

Di London, Ranie Saidi aktif menyertai pelbagai ‘supper club’, menampilkan pelbagai hidangan warisan Melayu yang diwarisinya daripada arwah nenek beliau. — Gambar ihsan Ranie Saidi

Menurut Ranie, kerjaya sebagai cef bermula apabila beliau mula memasak bagi meredakan kerinduan terhadap arwah neneknya. “Selepas dua tahun pemergian nenek, saya berhijrah ke London dengan harapan jarak dapat mengurangkan rasa duka. Tetapi sebenarnya, rasa rindu itu hanya menebal,” kata Ranie.

Berasal dari Pasir Mas, Che Aminah banyak merantau bersama suaminya seorang pegawai tentera, sebelum akhirnya menetap di Taiping dan membuka perniagaan katering majlis perkahwinan yang cukup terkenal di daerah tersebut.

Namun, kematian Che Aminah menjadi detik pilu buat keluarga Ranie apabila buku resipi pusaka neneknya telah dicuri, sekali gus meragut khazanah turun-temurun keluarga itu.

Bermodalkan ingatan rasa dan tunjuk ajar tidak rasmi daripada arwah nenek, Ranie mula memasak secara ‘agak-agak’, menekankan keseimbangan rasa dalam setiap hidangan. “Rasa makanan Melayu yang saya belajar sejak kecil tidak pernah terlalu pedas atau manis — semuanya serba sederhana dan seimbang,” tambah beliau lagi.

Ketika mula menetap di London, identiti Melayu dalam diri semakin kukuh tatkala beliau cuba memulihkan ingatan tentang resipi keluarga lama, dibantu oleh memori ibu dan ibu saudaranya. Walaupun trend makanan Malaysia di UK ketika itu lebih tertumpu pada menu Cina dan India, Ranie memilih untuk memperkenalkan citarasa Melayu yang unik dan jarang diketengahkan.

“Saya memilih untuk ‘memodenkan’ beberapa resipi agar sesuai dengan gaya hidup di London tanpa menjejaskan keaslian rasa,” ujar beliau. Antara resipi paling mencabar untuk dihidupkan semula ialah Daging Masak Hitam, memandangkan neneknya sudah pun uzur sewaktu cubaan terakhir ayahnya mendapatkan resepi asli tersebut.

Pencuci mulut menu supper club Ranie Saidi menonjolkan rasa unik Melayu.

Salah satu pencuci mulut yang disajikan di supper club oleh Ranie Saidi kaya dengan rasa asli Melayu. — Gambar ihsan Ranie Saidi

Tambah menarik, buku masakan ini turut menerangkan secara mendalam tentang konsep ‘agak-agak’ — satu teknik tradisi memasak Melayu yang tidak bergantung kepada sukatan tepat, tetapi berdasarkan deria rasa dan pengalaman cef. Ranie memperkenalkan “The Malay Flavour Table” untuk membantu pembaca mengenal pasti kombinasi rasa seperti manis, masam, masin, pedas, lemak, wangi, berempah dan beraroma kuat, lengkap dengan cadangan pengganti bahan jika sukar diperoleh di luar negara.

Beliau pernah dikecam kerana mengubahsuai resipi sambal dengan menggugurkan belacan — demi mematuhi resipi Kelantan dan mesra jiran di London yang kurang menggemari bau belacan. “Apa yang penting adalah memberi ruang untuk fleksibiliti agar sesiapa pun boleh mencuba masakan Melayu tanpa halangan bahan,” jelas Ranie yang percaya elemen adaptasi ini mengangkat keunikan masakan Melayu ke persada dunia.

Nasi limau pandan dan Kari Pengantin Melayu, inspirasi Ayam Masak Merah.

Hidangan nasi limau pandan bersama Kari Pengantin Melayu hasil inspirasi Ayam Masak Merah, sambal kentang tempe dan pajeri nenas (kiri). Kek Kaswi Kukus pandan disajikan bersama aiskrim vanila, gula Melaka serta kelapa parut (kanan). — Gambar ihsan Ranie Saidi

Pada asasnya, rempah ratus, pes dan sambal adalah nadi kepada masakan Melayu. Di London, kebanyakan pasar raya hanya menyediakan campuran rempah untuk hidangan dari Pakistan atau India, memaksa Ranie membangunkan sendiri campuran rempah bagi menghasilkan gulai Pantai Timur yang dirindui.

Projek buku ini mengambil masa tiga tahun dengan laluan berliku. Selepas ditolak lima agen sastera, beliau akhirnya berjaya bertemu penerbit yang percaya kepada kisah dan kepakarannya, membolehkan beliau mengolah cerita daripada sudut yang paling peribadi — bermula dari kesedihan dan kehilangan, sebelum berubah menjadi terapi dan suara jiwa beliau sendiri.

Penulisan dan reka bentuk buku, termasuk kulit muka depan, sangat istimewa kerana memaparkan unsur seni anyaman tikar mengkuang, warna bendera Malaysia dan bunga raya sebagai penghormatan kepada jatidiri Melayu.

Minyak cili Red Ginger Lily Ranie Saidi turut menggunakan bunga kantan.

Ranie Saidi juga menghasilkan minyak cili Red Ginger Lily dalam edisi terhad, menggunakan bunga kantan sebagai ramuan utama untuk minyak cili. — Gambar ihsan Ranie Saidi

Sambutan hangat telah menyebabkan buku ini dicetak semula sejurus selepas ia dilancarkan. Liputan media di Amerika Syarikat dan UK menambah lagi populariti buku tersebut, sekaligus membuktikan masakan Melayu semakin diterima di persada dunia.

“Lihat sahaja apabila beberapa resepi pilihan dipaparkan di muka depan akhbar nasional di sini, perasaan saya sangat terharu. Saya bangga dapat meraikan warisan yang pernah hilang dan menyampaikannya kepada generasi baru seperti yang nenek saya harapkan,” luah Ranie.

Beliau berharap bukunya dapat menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia untuk mengumpul dan mendokumentasi resipi keluarga sebelum ia lenyap ditelan zaman. “Setiap resipi menyimpan sejarah, memori dan identiti yang wajar diwarisi sepanjang zaman,” katanya lagi.

* ‘The Malay Cook’ boleh didapati di Kinokuniya Malaysia atau di laman web rasmi Kinokuniya.

* Ikuti perjalanan Ranie Saidi di Instagram: @raniesaidi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here