Home Hiburan Penantian Berakhir: BIGBANG Bakal Gegar KL 2027

Penantian Berakhir: BIGBANG Bakal Gegar KL 2027

2
0

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Sensasi K-Pop tersohor dari Korea Selatan, BIGBANG, bakal kembali memukau peminat Malaysia apabila kumpulan itu mengumumkan konsert di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada siri jelajah dunia mereka pada 9 Januari 2027.

Berdasarkan jadual terkini yang didedahkan hari ini, BIGBANG dijadualkan tampil di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang kini dikenali sebagai TM Stadium Nasional, bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan berkenaan.

Mengikut laporan portal hiburan Hype.my, penganjur konsert iMe Malaysia dijangka mengumumkan maklumat lanjut berkaitan penjualan tiket dan butiran penting lain dalam masa terdekat.

Jelajah dunia kali ini merupakan kemuncak sambutan dua dekad perjalanan seni BIGBANG dan turut dijangka menyaksikan pelancaran lagu baharu menjelang hujung tahun ini.

Jelajah dunia itu bakal membuka tirai di Seoul pada Ogos sebelum meneruskan persembahan ke beberapa bandar utama di Amerika Utara, Eropah, Australia dan Asia.

Bagi peminat di Malaysia, ini merupakan kemunculan semula yang dinanti-nantikan selepas lebih sedekad BIGBANG tidak melangsungkan konsert di sini. Kali terakhir mereka mengadakan persembahan sebagai kumpulan di Malaysia adalah pada tahun 2015 melalui jelajah dunia “MADE”.

Pengumuman yang dibuat menerusi poster rasmi jelajah dunia BIGBANG menyenaraikan Kuala Lumpur antara destinasi antarabangsa yang dipilih bagi acara mega itu.

Maklumat berkenaan penjualan tiket dan urusan konsert dijangka akan dikongsi oleh iMe Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here