PARIS, 12 Jun — Kanada mencipta langkah baharu dalam usaha melindungi pengguna dari bahaya kecerdasan buatan (AI) menerusi pengenalan undang-undang yang mewajibkan penyedia chatbot memastikan pengguna tidak terdedah kepada kandungan berbahaya. Rang undang-undang yang diumumkan semalam ini meletakkan tumpuan terhadap chatbot yang mungkin menggalakkan perbuatan bunuh diri, mencederakan diri atau menyamar sebagai manusia ataupun pakar dalam bidang kritikal seperti perubatan dan undang-undang.
Lebih menarik, chatbot di Kanada akan tertakluk kepada peraturan baharu di bawah Suruhanjaya Keselamatan Digital yang bakal dibentuk.
“Saya rasa ini adalah kali pertama peraturan keselamatan digital memasukkan chatbot dalam skopnya,” kata Prof Taylor Owen, Pengerusi Media, Etika dan Komunikasi di Universiti McGill, Montreal. Beliau mengakui Kanada agak terlewat memperkenalkan peraturan dalam landskap ini, namun ia memberi kelebihan kerana boleh mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara lain.
Bagaimana peraturan Kanada jika dibandingkan dengan negara lain?
Britain
Kerajaan Britain pada Februari lalu memaklumkan akan menutup ‘kelompongan undang-undang’ yang menyebabkan chatbot tidak tertakluk dengan Akta Keselamatan Dalam Talian tahun lalu. Akta tersebut mengkehendaki semakan umur bagi kandungan berisiko seperti pornografi, galakan mencederakan atau membunuh diri, gangguan pemakanan serta menghalang kanak-kanak daripada melihat bahan buli atau mesej benci. Britain juga mahu memastikan peraturan baru dapat dilaksana tanpa perlu meminda undang-undang setiap kali teknologi berubah – mirip haluan yang diambil Kanada.
Amerika Syarikat
Di Washington, pelbagai rang undang-undang diusulkan di peringkat persekutuan, termasuk GUARD dan CHATBOT di Senat serta SAFEBOTS di Dewan Perwakilan. Bagaimanapun, usaha ini berdepan cabaran kerana tekanan dari syarikat teknologi serta perpecahan dalam Kongres. Secara am, kebanyakan cadangan undang-undang melarang chatbot menyediakan kandungan seksual, galakan mencederakan diri atau bunuh diri kepada golongan bawah umur, malah ada yang mencadangkan persetujuan ibu bapa diperlukan atau akaun keluarga perlu diwujudkan.
Di peringkat negeri, misalnya di New York, satu undang-undang telah diluluskan untuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya, termasuk syarat pengesahan umur dan larangan chatbot memuji atau menyokong tingkah laku berisiko.
Australia
Australia antara negara terawal melarang akses media sosial oleh remaja bawah 16 tahun, dan kini ada ahli politik yang mahu sekatan umur diperluaskan kepada penggunaan chatbot pula. “Kita perlu bertindak lebih awal terhadap AI sebelum tercetusnya isu besar pada masa hadapan,” kata Ahli Parlimen Bebas, Kate Chaney.
Kesatuan Eropah (EU)
Akta AI yang digubal EU sudah mencakupi chatbot, tetapi tahun ini mereka menambah langkah selepas chatbot Grok menghasilkan imej deepfake yang bersifat seksual sehingga mencetuskan kemarahan ramai. EU kini melarang AI menjana deepfake seksual dan sedang menjalankan siasatan terhadap Grok. Parlimen Eropah juga meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak akibat AI dan menyeru perlindungan lebih ketat dalam talian.
Sebagai contoh, Itali telah mengharamkan penggunaan chatbot teman seperti Replika atas kebimbangan keselamatan data dan had umur. Sementara itu, EU masih berdebat untuk meletakkan usia minimum bagi akses media sosial secara bebas, dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen baru-baru ini mencadangkan peraturan baharu mungkin diumumkan dalam masa terdekat untuk mengawal akses kanak-kanak.
China
China pula tidak ketinggalan dalam memperketat kawalan ruang siber, dan menjadi antara yang terpantas memperkenalkan sekatan untuk akses AI chatbots oleh kanak-kanak. Bermula 15 Julai ini, penyedia chatbot dilarang menawarkan perkhidmatan teman maya atau pasangan romantik kepada golongan bawah 18 tahun, seperti dilaporkan CGTN. Untuk pengguna bawah 14 tahun, setiap interaksi chatbot yang menyerupai manusia memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga. Kerajaan China juga menuntut segala algoritma chatbot didedahkan dan disemak oleh pihak berkuasa.
Jika undang-undang Kanada ini diluluskan, ia bakal menjadi rujukan baharu dalam peraturan global tentang AI, di mana negara-negara boleh belajar dari pendekatan antara satu sama lain dan terus memperbaiki dasar bagi melindungi generasi masa depan.
Sumber: Malay Mail








