Home Gaya Hidup Semua Lelaki Presiden? Di Sebalik Kekaguman Trump Terhadap Lelaki Kacak

Semua Lelaki Presiden? Di Sebalik Kekaguman Trump Terhadap Lelaki Kacak

6
0

WASHINGTON, 12 Jun — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tidak pernah lekang daripada memberi pujian terhadap penampilan lelaki yang ditemuinya — sama ada kekaguman terhadap otot mantap, kaki seumpama batang pokok, ataupun wajah tampan atlet UFC yang ‘terlalu kacak’ untuk berada di gelanggang.

Tindakan Trump yang kerap memuji fizikal lelaki, menarik perhatian ramai di media sosial dan menimbulkan pelbagai spekulasi tentang kecenderungan seksualnya. Namun, menurut pakar, minat Trump terhadap lelaki berpenampilan menarik sebenarnya lebih berkait dengan obsesi beliau terhadap ciri-ciri kelelakian dan maskuliniti.

Fenomena ini menjadi lebih ketara apabila Trump memutuskan untuk menganjurkan pertandingan MMA – sukan yang sinonim dengan kekasaran serta mempamerkan lelaki berotot tegap – di White House sempena sambutan ulang tahun ke-80 beliau, Ahad lalu.

“Seolah-olah beliau sedang cuba mencapai tahap kelelakian yang sudah tidak dapat digenggamnya lagi,” kata Profesor Sabrina Karim dari Universiti Cornell.

“Memandangkan beliau semakin berusia, adalah sukar untuk tidak merasa kehilangan sesuatu,” ujarnya kepada AFP.

Pentas Pujian di Majlis Rasmi
Ketika menghadiri graduasi Coast Guard baru-baru ini, Trump menjemput kadet yang mendapat markah tertinggi dalam ujian kecergasan ke atas pentas. Sambil berseloroh, beliau berkata, “Saya nak tengok sendiri! Wow! Lihat otot lelaki ini!”

Semasa lawatan ke Wisconsin, beliau bertemu juara luncur laju Olimpik, Jordan Stolz, sebelum melahirkan rasa kesal kerana terlupa untuk “menyentuh kakinya.”

Tidak cukup dengan itu, Trump turut menggambarkan lengan seorang kadet laut sebagai “seperti keluli” dan menggelar Jaxson Dart, pemain sukan Amerika, sebagai “lelaki tampan” yang mempunyai kaki “seperti batang pokok.”

Sikapnya tidak terhad kepada rakyat Amerika – Trump juga memuji rupa paras Presiden Paraguay, Santiago Pena, dan Ahmad al-Chareh dari Syria.

Dalam kempen pilihan raya 2024, Trump mencuri perhatian dengan pernyataan ‘berani’ mengenai ikon golf, Arnold Palmer; “Apabila dia mandi bersama pemain pro lain, mereka selalu kata, ‘Wah, itu luar biasa’.”

Majalah komuniti LGBTQ, The Advocate, baru-baru ini menulis bahawa “Donald Trump amat meminati lelaki berwajah tampan,” bahkan menyifatkan acara MMA di hari lahirnya sebagai “persembahan homoerotik paling gah dalam sejarah White House.”

Sebuah video parodi yang menggambarkan Trump memuji lelaki lain juga tular di media sosial, mengumpul lebih sejuta likes di Instagram.

“Saya akan cium setiap lelaki, lelaki dan wanita, tengok lelaki itu, kacak betul. Tapi bukan dengan terlalu banyak keterujaan, itu biasa,” antara petikan parodi tersebut.

Ironi ‘YMCA’ dan Politik Maskuliniti
Menariknya, lagu penutup kegemaran Trump dalam himpunan politiknya ialah “YMCA” oleh Village People – lagu ikonik daripada komuniti LGBTQ.

“Ironi jelas di sini,” ulas The Advocate, “kerana pentadbiran Trump pada masa sama sering dilihat menindas komuniti ini.”

Profesor Dan Cassino dari Fairleigh Dickinson University berkata, pertandingan Presiden AS sentiasa melibatkan persaingan maskuliniti.

“Trump membawa topik ini ke hadapan secara terang-terangan, dan perkara itu menjadi kekuatannya,” katanya.

Sebagai bekas penganjur pertandingan ratu cantik, Trump juga sering memberi komen mengenai penampilan wanita, termasuk memuji Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, sehingga mencetuskan kontroversi diplomatik.

Beliau juga beberapa kali mengkritik rupa wartawan wanita di White House, dengan menyifatkan wartawan New York Times “hodoh,” dan menyindir penyampai CNN kerana tidak tersenyum.

Menurut Cassino, strategi ini adalah sebahagian daripada taktik Make America Great Again (MAGA) yang bertujuan menarik minat pengundi lelaki muda.

“Pertama, merendahkan wanita untuk membuktikan mereka tiada ciri maskulin yang dikagumi. Kedua, mengangkat lelaki yang miliki ciri-ciri tersebut — atlet MMA adalah gambaran ideal ciri kelelakian: muda, berotot, kuat dan berani,” jelasnya.

Semua itu, tegas Cassino, sebenarnya berkait dengan imej diri Trump sendiri.

“Lelaki-lelaki yang dipuji Trump seringkali mirip gambar AI yang sering dikongsi beliau sendiri di media sosial,” katanya.

“Mesejnya jelas: Inilah rupa lelaki sejati — sebab itu mereka layak memimpin.”

— AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here