Home Malaysia Tiada mangsa dilaporkan dalam kebakaran Kompleks PKNS Shah Alam, operasi kembali normal...

Tiada mangsa dilaporkan dalam kebakaran Kompleks PKNS Shah Alam, operasi kembali normal keesokan harinya

0
0

SHAH ALAM, 4 Julai — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengesahkan bahawa Kompleks PKNS Shah Alam telah kembali beroperasi seperti biasa semalam selepas semua prosedur dan langkah keselamatan yang diperlukan dilaksanakan susulan kebakaran yang berlaku di premis tersebut pada petang Khamis.

PKNS menyatakan bahawa tindakan segera telah diambil mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan untuk memastikan keselamatan pengunjung, penyewa, dan pekerja. Pemeriksaan awal oleh pasukan pengurusan fasiliti bangunan mendapati bahawa kebakaran dipercayai bermula dari panel Air Cooled Package Unit (ACPU) yang terletak di dalam bilik Air Handling Unit (AHU) di tingkat satu bangunan tersebut.

“Insiden ini mengakibatkan bekalan elektrik dan sistem pendingin hawa di kawasan terjejas dihentikan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

“Susulan insiden itu, pihak pengurusan kompleks telah mengaktifkan prosedur kecemasan dengan mengarahkan pengosongan Fasa 1 bangunan melalui sistem pembesar suara,” jelas PKNS dalam satu kenyataan semalam.

PKNS turut menyatakan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh yang singkat, sekali gus menghalang api daripada merebak ke bahagian lain bangunan.

Jabatan Bomba masih menyiasat punca tepat kebakaran tersebut.

Pada Khamis, Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, mengesahkan bahawa kebakaran di kompleks tersebut telah berjaya dikawal dan tiada kecederaan dilaporkan. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here