Kuala Lumpur, 12 Jun — Musim panas tahun 2016 menyaksikan fenomena luar biasa: orang ramai berjalan tanpa memandang sekeliling, berkumpul di taman pada tengah malam, dan pekerja pejabat tiba-tiba berlari di sepanjang kaki lima hanya kerana kehadiran seekor Snorlax dikesan di sekitar mereka.
Pokémon Go bukan sekadar permainan. Ia adalah satu eksperimen sosial global yang didorong oleh rasa ingin tahu, nostalgia dan keinginan untuk ‘menangkap kesemuanya’.
Namun, setelah hampir sedekad berlalu, data yang dikutip ketika era kegemilangannya kini muncul kembali dalam cara yang tidak dijangka.
Mengikut laporan The Guardian, model kecerdasan buatan (AI) yang dilatih menggunakan imbasan lokasi dunia sebenar yang dikumpul menerusi Pokémon Go kini berkait dengan sebuah kerjasama yang memfokuskan kepada membantu dron berfungsi di kawasan tanpa isyarat GPS atau apabila isyarat tersebut terganggu.
Cerita ini berpusat kepada Niantic, syarikat di sebalik Pokémon Go. Pada tahun 2021, permainan ini memperkenalkan ciri baharu yang menggalakkan pemain melakukan imbasan di lokasi PokéStop dengan janji ganjaran dalam permainan. Penyertaan adalah pilihan, di mana pemain perlu memilih secara sukarela untuk memuat naik rakaman lokasi setempat menggunakan peranti mereka.
Niantic menyatakan, imbasan tersebut membantu melatih model AI mereka untuk memahami ruang fizikal dengan lebih baik.
Kini, syarikat itu mengesahkan kerjasama dengan Vantor, syarikat pembangunan perisian pengesanan ruang untuk dron, termasuk yang digunakan dalam sektor ketenteraan.
Kedua-dua pihak menegaskan kepada The Guardian bahawa imbasan Pokémon Go tidak diserahkan secara langsung kepada Vantor. Sebaliknya, imbasan itu digunakan untuk melatih model asas AI milik Niantic.
Perbezaan ini mungkin bererti dari segi teknikal, namun untuk pemain, berita bahawa usaha mereka ‘menaik taraf Magikarp’ mungkin menyumbang secara tidak langsung kepada teknologi pertahanan pasti menimbulkan pelbagai reaksi.
Pendedahan ini turut membangkitkan isu semakin membara tentang kegunaan data peribadi selepas ia dikumpulkan. Data yang pada awalnya dikutip untuk satu tujuan, akhirnya boleh digunakan untuk kegunaan lain.
Tom Sulston daripada Digital Rights Watch berpendapat bahawa walaupun secara teknikal, pengguna bersetuju dengan terma permainan, hakikatnya majoriti orang tidak membaca butiran panjang terma dan syarat sebelum memasang aplikasi percuma.
Menurut beliau kepada The Guardian, pihak berkuasa harus lebih menilai apakah sesuatu amalan itu benar-benar demi kepentingan pengguna, serta adil dan munasabah.
Pakar percaya ini hanyalah permulaan. Dr Rob Nicholls dari Pusat AI, Kepercayaan dan Tadbir Urus Universiti Sydney sebelum ini mengingatkan bahawa data penjejak kecergasan pernah digunakan untuk mengenal pasti lokasi ketenteraan sensitif, membuktikan teknologi harian mampu membawa kesan yang tidak dijangka.
Pelajaran utama di sini bukanlah permainan realiti terimbuh itu berbahaya, sebaliknya, data yang dikumpulkan mempunyai ‘jangka hayat’ yang panjang dan tidak dapat dijangka kegunaannya.
Segala jejak digital yang kita tinggalkan — laluan, rutin dan interaksi — boleh kekal jauh lebih lama daripada waktu kita menciptanya.
Bagi jutaan pemain Pokémon Go, mengimbas mural atau taman permainan tempatan barangkali terasa seperti tugasan sampingan semata-mata.
Namun bertahun kemudian, tindakan itu kini menjadi sebahagian perbincangan yang lebih besar tentang persetujuan, ketelusan, dan siapa benar-benar mendapat manfaat daripada data yang kita hasilkan.
Dalam zaman AI kini, siapa sangka, memburu Pikachu juga boleh membawa kesan yang tidak pernah terlintas di fikiran.









