Home Dunia Misi Menyelamat di Mindanao Diuji Hujan, Gegaran Susulan; Korban Gempa Menurun, Jumlah...

Misi Menyelamat di Mindanao Diuji Hujan, Gegaran Susulan; Korban Gempa Menurun, Jumlah Hilang Meningkat

3
0

PENYELAMAT TERUSKAN USAHA DI TENGAH HUJAN DAN GEMPA SUSULAN DI MINDANAO, ANGKA KORBAN GEMPA DIKEMASKINI KEPADA 46 ORANG

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi besar di selatan Filipina diteruskan hari ini meskipun berdepan hujan lebat dan gegaran susulan. Pihak berkuasa juga telah mengemas kini angka korban kepada 46 orang, berbanding laporan awal 55 orang sebelum ini.

Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud yang melanda pesisir pantai Mindanao pada Isnin lalu menyebabkan runtuhan bangunan dan tanah runtuh di sekitar pulau tersebut, selain turut mencetuskan amaran tsunami di rantau itu.

Menurut kenyataan kerajaan pada pagi Jumaat, jumlah kematian akibat bencana tersebut sebelum ini dilaporkan seramai 55 orang, namun setelah proses pengesahan, angka itu dikurangkan kepada 46 mangsa. Sementara itu, jumlah mangsa yang masih hilang meningkat kepada 38 orang.

Di daerah Sarangani yang paling teruk terjejas, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah, Rene Punzalan berkata kebanyakan jalan yang terhalang telah berjaya dibuka semula. Namun, bantuan makanan dan air masih perlu dihantar menggunakan helikopter ke kawasan yang masih terputus hubungan serta bergelap tanpa bekalan elektrik.

“Kerja-kerja menyelamat masih tergendala akibat gegaran susulan dan hujan lebat malam tadi. Ada ketikanya operasi terpaksa dihentikan sementara,” katanya, memaklumkan operasi turut menggunakan jentera berat bagi mengalihkan batu-batu besar yang menghalang jalan.

Bagaimanapun, harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis memandangkan tempoh masa yang sudah lama sejak gempa berlaku.

“Sudah beberapa hari berlalu sejak gempa bumi berlaku. Jika masih ada yang selamat, ia adalah satu keajaiban. Sekarang fokus operasi kami lebih kepada menemukan dan mengangkat jenazah mangsa,” ujarnya lagi.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos turut melawat kawasan terjejas di General Santos pada Rabu, termasuk ke sebuah sekolah yang rosak serta pusat pengagihan bantuan. Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak 100 juta peso (sekitar RM7.5 juta) untuk membina semula bangunan dewan bandaraya di situ.

Sumber: AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here