Mercedes-Benz Berganding dengan Tytan Technologies, Bakal Bangunkan Kenderaan Pertahanan Dron Berasaskan G-Class dan Sprinter
BERLIN, 11 Jun — Mercedes-Benz sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengumumkan kerjasama strategik bersama syarikat pertahanan dron, Tytan Technologies, sebagai usaha terkini syarikat automotif Jerman itu meluaskan langkah ke sektor pertahanan ketika perniagaan automotif konvensional semakin mencabar.
Menerusi kenyataan bersama, Mercedes-Benz dan Tytan memaklumkan mereka bersedia membangunkan platform pertahanan dron bergerak yang berasaskan dua model kenderaan ikonik Mercedes — SUV G-Class serta van Sprinter. Memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama ini telahpun ditandatangani di pertunjukan udara ILA Berlin baru-baru ini.
Ketua Pengeluaran Mercedes-Benz, Michael Schiebe berkata, “Kami akan menggabungkan kekuatan masing-masing. Mercedes-Benz, kini dan di masa depan, tetap komited menghasilkan kenderaan yang tahan lasak dan boleh dipercayai, manakala Tytan pula memiliki kepakaran tinggi dalam teknologi dron, sensor serta misi operasi.”
Menerusi kerjasama ini, kenderaan Mercedes bakal dilengkapi sistem ‘drone defender’ hasil ciptaan Tytan, yang terdiri daripada radar dan dron pemintas. Wakil Tytan memaklumkan kepada AFP bahawa jumlah pengeluaran dan jadual pelaksanaan projek ini masih belum dimuktamadkan.
Mercedes-Benz bagaimanapun enggan mengulas mengenai jumlah pesanan dan rancangan pengeluaran buat masa ini.
Kerjasama ini dilihat hadir tepat pada masanya ketika pelbagai negara Eropah gusar dengan peningkatan aktiviti dron yang mencurigakan, di mana Rusia kerap dipersalahkan atas insiden tersebut. Antara kejadian yang membimbangkan ialah insiden penerbangan dron dipercayai menceroboh ruang udara Lapangan Terbang Munich Oktober lalu yang telah menyebabkan puluhan penerbangan dibatalkan serta menjejaskan ribuan penumpang.
Mercedes-Benz sebelum ini telah pun menghasilkan versi tentera bagi model G-Class yang dikenali sebagai Wolf. Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz, Ola Kaellenius, baru-baru ini menyatakan kepada Wall Street Journal bahawa syarikat itu sedia memainkan peranan dalam usaha pertahanan Eropah sejajar peningkatan perbelanjaan sektor keselamatan oleh negara-negara benua itu.
Tidak ketinggalan, kumpulan Volkswagen turut menyatakan minat untuk terlibat di sektor sama. Ketua Eksekutif Volkswagen Group, Oliver Blume, pada Mac lalu mengesahkan syarikat itu dalam perbincangan bersama syarikat pertahanan untuk membangunkan kenderaan pengangkutan tentera di kilang yang kurang digunakan di utara Jerman.
Selain itu, Volkswagen yang memiliki 10 jenama utama termasuk Audi dan Porsche, sedang merancang pengurangan sehingga 50,000 pekerja di Jerman menjelang tahun 2030 disebabkan persaingan sengit di pasaran China dan tekanan kos di negara sendiri. — AFP









