ULAN BATOR, 12 Jun — Mongolia mencatat kejayaan besar dalam usaha memulangkan khazanah purba negara itu selepas berjaya mendapatkan semula rangka dinosaur dan beberapa fosil berharga yang diseludup ke luar negara hampir dua dekad lalu. Kejayaan ini menandakan berakhirnya usaha bertahun-tahun untuk membawa pulang tinggalan warisan paleontologi yang tidak ternilai itu.
Antara penemuan utama yang dikembalikan ialah rangka Tarbosaurus bataar yang dianggarkan lebih daripada 50 peratus masih utuh, bersama-sama 28 kumpulan tulang dinosaur lain yang berasal dari Gurun Gobi, Mongolia, menurut pihak polis.
Menurut Ketua Unit Perhubungan Awam Polis, D. Munkhkhuyag, tulang-tulang ini telah diseludup keluar dari Mongolia pada tahun 2006 untuk tujuan mengaut keuntungan. Namun, usaha itu akhirnya digagalkan apabila pihak kastam Perancis berjaya mengesan dan merampas fosil-fosil berkenaan antara tahun 2013 hingga 2015.
Sejak itu, proses pemulangan semula fosil dilakukan mengikut Konvensyen Antarabangsa bagi membanteras penyeludupan warisan budaya, sebelum akhirnya tiba di ibu negara Ulan Bator semalam. Semua khazanah ini kini bakal ditempatkan di Muzium Sejarah Semula Jadi Kebangsaan Mongolia yang baharu, untuk kajian dan pameran kepada orang ramai.
Pengarah muzium, Manchuk Nuramkhan, berkata rangka dinosaur tersebut merupakan aset warisan yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit. “Kami amat gembira kerana kanak-kanak dan generasi muda Mongolia kini berpeluang melihat sendiri warisan dinosaur negara dan mempelajarinya dengan lebih dekat,” katanya dalam sidang media.
Tarbosaurus bataar, spesies yang hampir menyerupai Tyrannosaurus rex, dipercayai wujud sekitar 70 juta tahun lalu dan sehingga hari ini fosilnya hampir hanya ditemui di Gurun Gobi.
Manchuk turut menegaskan, kejayaan membawa pulang fosil ini ialah kemenangan penting dalam usaha memulihkan semula warisan budaya dan sains Mongolia, selain membuktikan komitmen antarabangsa dalam menangani sindiket penyeludupan barang antik dan fosil yang kian menjadi-jadi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mongolia meningkatkan operasi untuk menjejaki dan memulangkan semula fosil dinosaur yang diseludup, sejajar dengan peningkatan permintaan kolektor peribadi dan rumah lelongan antarabangsa yang mendorong pasaran gelap fosil-fosil paleontologi yang sangat bernilai ini.
— AFP









