Tehran Dedah Draf 14 Perkara Rundingan dengan AS, Tuntut Penghapusan Sekatan dan Pembebasan Aset Beku
KUALA LUMPUR, 12 Jun — Media Iran semalam mendedahkan butiran draf memorandum persefahaman 14 perkara antara Tehran dan Washington, sekali gus menampakkan perbezaan ketara berbanding laporan sebelum ini yang disiarkan oleh Axios mengenai isu pelepasan sekatan, aset Iran yang dibekukan, komitmen pembinaan semula negara, serta skop rundingan masa hadapan.
Menurut agensi berita Mehr, draf tersebut masih tertakluk kepada semakan dan kelulusan akhir oleh pihak berkuasa Iran yang berkaitan, lapor Anadolu Ajansi.
Walaupun terdapat beberapa persamaan utama dalam kedua-dua versi yang dilaporkan, terdapat perbezaan besar dari segi pelaksanaan matlamat tersebut. Axios antara lain melaporkan cadangan melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari, termasuk di Lubnan, sementara rundingan nuklear diteruskan. Namun, draf yang disiarkan Mehr menuntut penghentian segera dan berkekalan semua tindakan permusuhan di setiap kawasan, termasuk Lubnan, sebelum rundingan selama 60 hari ke arah satu perjanjian nuklear muktamad dijalankan.
Perbezaan lain turut dapat dilihat berhubung isu pembukaan Selat Hormuz yang strategik. Sumber Axios melaporkan Amerika Syarikat (AS) mengusulkan pembukaan segera tanpa tol serta pemulihan kapasiti penghantaran normal, manakala draf Iran menetapkan pembukaan semula dalam tempoh 30 hari, dengan kerjasama penuh Tehran.
Isu pelepasan sekatan juga menjadi titik perbalahan utama. Axios melaporkan sekatan AS akan dilepaskan mengikut tahap pematuhan Iran terhadap perjanjian. Namun, draf yang dikongsi Mehr menuntut penggantungan segera terhadap sekatan ke atas minyak, produk petrokimia, akses penuh kepada sumber kewangan Iran, serta pemansuhan sepenuhnya semua sekatan utama dan sekatan sekunder AS, termasuk tindakan yang dikenakan melalui Majlis Keselamatan PBB dan Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Sementara itu, isu aset Iran yang dibekukan turut menunjukkan jurang ketara. Axios memaklumkan Iran hanya boleh memperoleh sebahagian dana beku untuk tujuan kemanusiaan menerusi mekanisme yang dipersetujui bersama Qatar. Tetapi draf Iran secara jelas menuntut pembebasan dana AS$24 bilion aset beku dalam tempoh 60 hari rundingan, dengan separuh dana dilepaskan sebelum rundingan utama bermula.
Tuntutan bantuan pembinaan semula dan jaminan selepas perang turut menjadi isu utama. Dalam laporan Axios, tidak disebutkan keperluan bantuan pembinaan semula, namun draf Iran jelas menegaskan pihak AS dan sekutunya mesti membentangkan pelan pembinaan semula bernilai tidak kurang AS$300 bilion.
Draf versi Iran turut merangkumi komitmen AS untuk tidak mencampuri urusan dalaman Iran, menghormati kedaulatan Iran, dan menarik keluar semua tentera AS dari kawasan sekitar Iran. Selain itu, AS juga berjanji tidak akan menambah penempatan tentera di rantau tersebut dan tidak mengenakan sekatan baru sepanjang tempoh rundingan berlangsung.
Dalam aspek nuklear, kedua-dua versi draf mempunyai persamaan, di mana Axios melaporkan kerangka menangani stok uranium diperkaya milik Iran, dengan langkah lanjut tertakluk kepada perjanjian susulan. Draf Iran pula mengulangi komitmen Tehran di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear untuk tidak menghasilkan senjata nuklear.
Perbezaan paling signifikan berkaitan skop rundingan masa depan. Draf Iran menegaskan perjanjian akhir hanya akan membabitkan isu bahan nuklear diperkaya, aktiviti pengayaan, pelepasan sekatan, dan program pembinaan semula ekonomi — sementara isu program peluru berpandu dan sokongan kepada kumpulan penentang dikecualikan sama sekali daripada rundingan.
Draf tersebut turut menyarankan segala perjanjian muktamad akan disahkan melalui resolusi Majlis Keselamatan PBB, dan satu mekanisme pemantauan diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan, aspek yang tidak disebut dalam laporan Axios.
Mehr turut memaklumkan, teks draf ini masih memerlukan kelulusan penuh pihak berkuasa berkaitan di Iran sebelum boleh dimuktamadkan.
Pada masa sama, Presiden Trump menyatakan perjanjian bagi mengakhiri secara kekal konflik AS-Israel dengan Iran boleh dimeterai seawal hujung minggu ini, di tengah pelbagai perkembangan yang semakin rancak.
Iran pada Khamis menyebut bahagian utama draf persefahaman bersama AS sudah pun dimuktamadkan, sambil menuduh Washington mempengaruhi perjalanan rundingan dengan sering berubah pendirian.
Akhir-akhir ini, ketegangan serantau semakin memuncak selepas serangan udara AS terhadap Iran susulan insiden helikopter Apache ditembak jatuh di atas Selat Hormuz.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa 18 sasaran utama tentera AS telah dihentam — membabitkan pangkalan Ali Al Salem dan Ahmad Al Jaber di Kuwait, Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, serta pangkalan jet pejuang Amerika di Jordan.
Insiden balas-membalas ini memperlihatkan lonjakan ketegangan selepas pengumuman Iran menutup Selat Hormuz daripada trafik maritim sebagai tindak balas serangan AS. — Bernama-Anadolu









