Home Teknologi Google Play dan Steam hadkan Gorebox di Filipina selepas kejadian tembakan sekolah...

Google Play dan Steam hadkan Gorebox di Filipina selepas kejadian tembakan sekolah maut

0
0

MANILA, 1 Julai — Pusat Penyiasatan dan Koordinasi Jenayah Siber (CICC) hari ini mengumumkan bahawa permainan mudah alih dan PC yang kontroversi, Gorebox, telah dikeluarkan daripada Google Play Store dan Steam di Filipina, selaras dengan larangan yang dikuatkuasakan minggu lalu.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), CICC menyatakan bahawa Google telah memenuhi permintaan kerajaan Filipina untuk menyekat akses kepada permainan tersebut di negara ini, dengan komponen permainan dalam talian juga disekat.

Sekatan yang dikenakan ke atas Gorebox akan menghalang pengguna di Filipina daripada memuat turun permainan itu dan juga menyebabkan permainan tersebut tidak responsif di luar skrin pemuatan bagi mereka yang telah memasangnya sebelum larangan dikuatkuasakan.

Sekretaris Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (DICT) Henry Aguda mengalu-alukan keputusan Google dan Steam untuk bekerjasama dengan kerajaan Filipina dalam usaha mempromosikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

“Dengan sekatan ini, kami yakin bahawa kanak-kanak tidak akan dapat mengakses permainan yang begitu ganas,” kata Aguda.

Permainan tersebut disekat selepas mesyuarat antara DICT, CICC dan wakil-wakil dari Google Filipina dan Google LLC pada hari Isnin, di mana Aguda mengulangi permintaan kerajaan Filipina untuk menyekat akses Gorebox di seluruh negara sehingga dapat memastikan kanak-kanak tidak mudah mengakses permainan tersebut.

Platform permainan PC Steam juga telah mematuhi sekatan sementara yang dikenakan ke atas Gorebox.

Pada hari Selasa yang lalu, CICC mengumumkan larangan sementara terhadap Gorebox selepas siasatan polis ke atas insiden tembakan sekolah yang tragis di Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose di Tacloban City mendapati bahawa salah seorang daripada dua penembak remaja adalah pemain setia permainan tersebut. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here