Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang Luah Rasa Kagum Terhadap Korea Selatan dalam Penampilan Pertama di Rancangan Hiburan
SEOUL, 12 Jun — Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, tampil buat julung kali di sebuah rancangan hiburan TV dan memanfaatkan peluang ini untuk meluahkan penghargaan mendalam beliau terhadap Korea Selatan. Beliau memuji komuniti pemain game, syarikat, dan kerjasama yang telah terjalin antara Nvidia dan Korea Selatan selama lebih dua dekad, yang katanya memainkan peranan besar dalam melonjakkan Nvidia ke peringkat antarabangsa.
“Sejarah dan kehidupan kami sangat berkait rapat, dan Korea sentiasa dekat di hati saya,” ujar Huang semasa muncul dalam rancangan popular tvN, You Quiz on the Block yang disiarkan malam Rabu lalu.
Kemunculan ini dirakam ketika kunjungan terbarunya ke Seoul dan menjadi kali pertama pengasas Nvidia itu menyertai program hiburan di mana-mana negara.
Huang turut mengimbas sejarah panjang kerjasama Nvidia dengan Korea Selatan, yang bermula lebih 25 tahun lalu. Beliau menegaskan budaya permainan video di negara itu memberi impak besar kepada kejayaan Nvidia.
“Tanpa sokongan luar biasa dari para pemain game Korea, seperti Faker dan ramai lagi, teknologi Nvidia mungkin tidak akan menjadi fenomena global seperti hari ini,” katanya.
Huang juga tidak lupa memberi penghargaan kepada rakan kongsi perniagaan di Korea Selatan. “Setiap kali saya berada di sini, saya sentiasa berharap rakan kongsi kami berjaya — sama ada SK, Samsung, LG, Hyundai atau Naver. Mereka tahu saya akan berusaha sebaik mungkin, sepenuh hati untuk mereka,” ujar beliau lagi.
Kunjungan selama lima hari di Korea Selatan menjadikan Huang sebagai figura yang cukup mendapat perhatian. Ke mana sahaja beliau pergi, sama ada di kafe siber Hongdae atau ketika bertemu dengan pemimpin syarikat teknologi utama negara itu, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehadirannya.
Malah, pengacara rancangan, Yu Jae-seok turut menyentuh pertemuan “Kkanbu Summit” yang hangat diperkatakan tahun lalu — iaitu pertemuan makan ayam goreng bersama pengerusi Samsung Electronics, Lee Jae-yong; pengerusi eksekutif Hyundai Motor Group, Chung Euisun; dan pengerusi SK Group, Chey Tae-won.
Ketika ditanya siapakah antara tiga pemimpin tersebut yang paling rapat dengannya, Huang memilih untuk menjawab secara diplomatik. “Mereka semua adalah pemimpin bertaraf dunia. Ketiga-tiga syarikat sangat bertuah memiliki mereka,” katanya.
Selain berbicara mengenai dunia korporat, Huang juga berkongsi pengalaman hidup yang membentuk keperibadiannya hari ini. Beliau menceritakan detik berpindah dari Taiwan ke Amerika Syarikat ketika berusia sembilan tahun, termasuk bekerja mencuci pinggan dan tandas di restoran.
“Apa juga kerjanya, ia tetap penting. Setiap kali anda selesai tugasan tersebut, ia mencerminkan diri anda,” jelasnya.
Ketabahan diri menjadi intipati utama perbualan tersebut. Huang mengenang semula zaman getir pada pertengahan 1990-an ketika Nvidia hampir jatuh muflis. “Apabila anda tiada apa-apa, tiada apa lagi yang perlu hilang — dan itu adalah kekuatan luar biasa seseorang,” katanya.
Perbincangan turut menjurus kepada kecerdasan buatan (AI) dan impaknya kepada kehidupan harian.
“AI itu mudah, komputer itu susah,” kata Huang, sambil menambah bahawa teknologi AI berupaya membuka peluang kepada lebih ramai orang berinteraksi dengan komputer secara mudah — tanpa perlu mahir menulis kod, cukup sekadar bercakap dalam bahasa harian.
Bagi mengukuhkan hujah itu, Huang berkongsi pengalaman bertemu pemilik restoran BBQ yang dikunjunginya malam sebelumnya. “Mereka sangat mesra, sebenarnya mereka juga boleh jadi pembangun perisian. Jika mereka nak buat laman web atau aplikasi baru, kini lebih mudah — hanya arahkan AI untuk bantu,” katanya.
Sebelum episod berakhir, Huang dipaksa membuat pilihan lucu menerusi cabaran permainan imbang (balance game) antara seumur hidup menikmati samgyeopsal (daging perut babi panggang) atau ayam goreng Korea.
“Sebelum malam tadi, saya rasa mudah buat pilihan,” kata beliau merujuk hidangan daging panggang terbarunya di Seoul. “Tapi kini, saya sendiri sukar untuk memilih.”
Sumber: Malay Mail








