Home Malaysia Anwar: Kekuatan Malaysia Terletak Pada Keadilan Urus Perbezaan, Agama Perlu Jadi Pemangkin...

Anwar: Kekuatan Malaysia Terletak Pada Keadilan Urus Perbezaan, Agama Perlu Jadi Pemangkin Perdamaian

5
0

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Malaysia bukanlah sebuah negara yang mendambakan keseragaman, sebaliknya kekuatannya terletak pada keupayaan untuk mengurus perbezaan secara adil dan saksama, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama ke-3 2026 di ibu negara hari ini, Anwar berkata pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama membuktikan masyarakat yang berbeza latar belakang mampu hidup harmoni, sambil masing-masing kekal berpegang teguh kepada kepercayaan sendiri.

Menurut beliau, walaupun Islam merupakan agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tetap meraikan kepelbagaian di mana rakyat mengamalkan hak dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh hormat dan saling memahami.

“Negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, kita laksanakan hak dan kewajipan dengan menghormati satu sama lain. Kita mahu pastikan setiap anggota masyarakat, setiap rakyat, rasa aman dan dilindungi secara saksama.

“Justeru, kekuatan Malaysia bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada keupayaan kita mengurus perbezaan secara adil. Jika semangat ini diterapkan secara konsisten, ia mampu menjadi contoh kepada masyarakat dunia,” katanya.

Anwar turut menggesa para pemimpin agama agar terus menggunakan pengaruh moral dan wibawa mereka untuk memupuk keamanan serta keadilan, terutama ketika dunia semakin bergolak dengan konflik dan krisis kemanusiaan.

Beliau menekankan, dunia masa kini berdepan cabaran besar yang memerlukan kepimpinan moral yang kukuh selain komitmen yang lebih tinggi terhadap nilai kemanusiaan dan etika.

Katanya, perkembangan semasa menyaksikan peranan pemimpin agama semakin penting dalam menyemai rasional, toleransi dan tanggungjawab moral di tengah dunia yang semakin tidak menentu.

“Multilateralisme semakin digantikan oleh tindakan tunggal sepihak. Keamanan pula digugat oleh kecenderungan berterusan ke arah peperangan. Nasib golongan miskin dan terpinggir pula sering diabaikan.

“Peranan pemimpin agama tidak pernah begitu relevan kerana anda membawa suara hati nurani, kewarasan, kesabaran dan toleransi — sesuatu yang semakin kurang pada masa kini. Ada yang menggelarnya sebagai zaman pasca-normal,” tambah beliau.

Dalam masa sama, Anwar turut memberi amaran bahawa agama yang seharusnya menjadi punca keamanan, kesepaduan dan kesejahteraan kini semakin dipolitikkan dan dimanipulasi untuk menyemarakkan permusuhan.

“Agama sepatutnya menyemai keamanan, tetapi semakin menjadi punca perpecahan. Ia sepatutnya membawa nilai toleransi dan keadilan, namun kadangkala dibiarkan menjadi alasan kepada keganasan dan penindasan,” katanya.

Perdana Menteri turut menjadikan situasi berterusan di Gaza dan Lubnan sebagai contoh bagaimana kemanusiaan dan keadilan gagal ditegakkan, apabila gencatan senjata kerap kali dilanggar sejurus selepas diumumkan.

Kata beliau lagi, peperangan yang mengorbankan wanita serta kanak-kanak semakin dianggap perkara biasa, manakala generasi muda kini terdedah kepada adegan kekejaman dan penghinaan terhadap maruah manusia.

“Gencatan senjata diumumkan tetapi kerap kali dilanggar sebelum sempat tinta kering. Serangan terus berlaku walaupun rundingan sedang dijalankan,” katanya lagi.

— Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here