Home Sukan Aguirre bangga Meksiko atasi gugup, kejang untuk raih kemenangan sulung Piala Dunia

Aguirre bangga Meksiko atasi gugup, kejang untuk raih kemenangan sulung Piala Dunia

5
0

Mexico Tewaskan Afrika Selatan 2-0, Tewaskan Debaran untuk Catat Kemenangan Pertama di Aksi Pembuka Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Skuad Mexico akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan di perlawanan pembuka Piala Dunia selepas menewaskan Afrika Selatan 2-0 pada aksi yang berlangsung di Estadio Azteca semalam.

Kemenangan ini cukup manis buat Mexico yang sebelum ini gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan pembukaan Piala Dunia, hanya mencatat lima kekalahan dan dua keputusan seri dalam sejarah penyertaan mereka.

Jurulatih Mexico, Javier Aguirre mengakui anak buahnya pada awalnya dibelenggu rasa gemuruh dan sedikit tekanan pentas besar sebelum berjaya mengawal permainan dan mendominasi perlawanan menentang skuad Afrika Selatan yang bergelut dengan prestasi hambar.

“Memang perkara biasa anda akan rasa gemuruh bila memulakan kempen Piala Dunia. Bayangkan, selama 25 tahun tiada sesiapa yang pernah alami kejang otot, tapi hari ini tiga pemain saya kejang,” jelas Aguirre. Katanya lagi, mereka benar-benar terpegun sebaik memasuki stadium dan sempat diserang rasa ‘takut pentas’, namun tetap tidak menghadapi masalah besar di atas padang. “Kami boleh saja menang besar, mungkin 4-0. Tapi paling penting, kami dapat tiga mata untuk terus melangkah ke peringkat seterusnya.”

Perlawanan itu turut dihiasi dengan reaksi tidak senang sebahagian penyokong tuan rumah yang sempat melemparkan sorakan negatif menjelang wisel penamat, namun ia tidak menjejaskan semangat pasukan.

“Saya tidak dengar pun ada yang mengejek, tapi andai benar, itu tanggungjawab pemain Mexico untuk pastikan perkara itu tidak berulang. Apapun, kemenangan dan tiga mata adalah sesuatu yang sangat positif,” ujar Aguirre.

Mexico kini akan menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya menentang Korea Selatan dan Republik Czech. Namun jurulatih itu tidak mahu meletakkan tekanan untuk kejar kedudukan teratas Kumpulan A.

“Kami langsung tidak obses untuk jadi juara kumpulan. Fokus kami hanyalah pada aksi menentang Korea, satu demi satu perlawanan dan persiapan ke hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, pengendali Afrika Selatan, Hugo Broos akur dengan kad merah yang dilayangkan kepada Sphephelo Sithole selepas rehat, tetapi mempertikaikan keputusan mengeluarkan pemain gantian, Themba Zwane pada lewat permainan.

“Kad merah pertama saya tiada bantahan, tetapi kad merah kedua saya rasa pemain Mexico yang menghalang pemain saya, namun pengadil membuat keputusan sebaliknya. Sayang sekali kami terpaksa menamatkan aksi dengan hanya sembilan pemain.

“Bagaimanapun, saya rasa pemain-pemain saya telah memberikan aksi terbaik. Pada satu ketika Mexico sendiri kelihatan terdesak dan buntu untuk menembusi pertahanan kami. Namun, kami perlu tampil lebih baik pada perlawanan seterusnya terutama ketika menguasai bola,” katanya.

Sumber: AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here