JASIN, 24 Jun — Polis telah menahan tujuh individu, terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita, bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang mengakibatkan dua orang cedera di tepi jalan berhampiran sebuah hentian bas di Jalan Gapam, Bemban semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Lee Robert, berkata suspek yang berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditangkap dalam beberapa serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Melaka antara pukul 3 petang hingga 6.50 petang semalam.
Beliau berkata, polis juga merampas beberapa barang yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut, termasuk lima telefon bimbit, pakaian, kasut, selipar dan sebatang kayu coklat.
“Permohonan untuk perintah reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi memudahkan siasatan di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Kesiksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, dua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Melaka selepas insiden itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Semalam, Lee dilaporkan berkata dua lelaki mengalami kecederaan serius selepas didakwa diserang dalam satu pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan lelaki di tepi jalan berhampiran sebuah hentian bas di Jalan Gapam.
Dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 12.10 pagi, seorang lelaki berusia 21 tahun yang tidak bekerja dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala, manakala mangsa kedua, seorang pemandu lori berusia 28 tahun, mengalami pendarahan otak serta patah pada lengan kiri dan kaki kiri. — Bernama









