Home Ekonomi TikTok Shop Ubah Landskap Perdagangan Digital di Malaysia, Kata MDEC

TikTok Shop Ubah Landskap Perdagangan Digital di Malaysia, Kata MDEC

8
0

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Platform yang memupuk inovasi, inklusi, dan pertumbuhan lestari, seperti TikTok, menyokong usaha Malaysia dalam membina masyarakat yang dipacu digital, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata dengan sumbangan dianggarkan satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia dan empat peratus kepada ekonomi digital, kehadiran TikTok dalam landskap digital tempatan adalah penting.

“Ini menekankan kepentingan yang semakin meningkat bagi platform seperti TikTok Shop, dan bagaimana dunia digital perdagangan telah mengubah cara rakyat Malaysia berinteraksi, menemui, dan membeli produk.

“Evolusi ini memperluas akses, mengurangkan halangan untuk masuk, dan membolehkan perniagaan dari semua saiz untuk mencapai pasaran yang sebelum ini tidak dapat dicapai,” jelasnya dalam Laporan Impak Sosioekonomi TikTok Malaysia 2025.

Anuar Fariz berkata perubahan ini melangkaui pertumbuhan e-dagang, mencerminkan satu bentuk pemberdayaan digital yang lebih mendalam di mana kepercayaan, penceritaan, dan penglibatan menukar perhatian kepada peluang ekonomi.

Sambil mengulas tentang laporan itu, beliau berkata ia menonjolkan hasil yang nyata daripada ekosistem komprehensif TikTok di Malaysia, termasuk sokongan untuk 147,000 pekerjaan, pengaktifan lebih satu juta perniagaan tempatan dan latihan kemahiran digital untuk lebih 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) melalui kerjasama TikTok dengan agensi seperti MDEC.

“Hasil ini terjemahkan kepada pendapatan sebenar, diperoleh secara berkala, dan mengalir terus ke dalam poket rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menambah bahawa pemberdayaan digital bukan sahaja mengenai pertumbuhan, tetapi juga memastikan Malaysia mencapai pembangunan lestari di samping pengagihan yang adil dan saksama merentasi kumpulan pendapatan, etnik, kawasan dan rantaian bekalan.

“Ketika Malaysia meneruskan perjalanan digitalnya, penyelidikan empirikal dan data seperti yang dipersembahkan dalam laporan ini memainkan peranan penting dalam membentuk dasar, amalan industri, dan memperkuat pemahaman awam.

Peluang dalam ekonomi digital adalah besar, tetapi nilai sejatinya terletak pada bagaimana ia menyumbang kepada aspirasi jangka panjang Malaysia untuk membina Negara AI.

“Saya mengucapkan tahniah kepada TikTok atas usaha bermakna dalam memajukan pemberdayaan digital. Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, dan masyarakat pada umumnya, kita dapat membina ekonomi digital yang mengubah peluang menjadi hasil nyata untuk rakyat,” katanya. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here