PARIS, 13 Jun — Mahkamah Perancis telah menjatuhkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun ke atas enam warga Georgia selepas didapati bersalah mencuri naskhah klasik sastera Rusia yang sangat berharga, termasuk karya penulis tersohor Alexander Pushkin, daripada beberapa perpustakaan ternama negara itu.
Kegiatan penjenayah terancang ini mendedahkan operasi kumpulan antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan berkait Rusia, dan bukan kali pertama berlaku di perpustakaan sekitar Eropah.
Nilai rampasan membabitkan karya klasik yang jarang ditemui milik sasterawan terkenal seperti Pushkin, Nikolai Gogol, dan Mikhail Lermontov dianggarkan mencecah jutaan euro.
Enam defendan tersebut — lima lelaki dan seorang wanita — disabitkan kesalahan atas dakwaan pakatan jenayah untuk curi barangan bersejarah, dengan beberapa daripadanya turut didapati bersalah mencuri aset budaya yang dipamerkan kepada umum.
Dua daripada mereka telah dijatuhkan hukuman secara in absentia, memandangkan mereka kini ditahan di Georgia, yang tidak mengekstradisi warganya.
Dua lagi, dikenali sebagai Mikheil Z. dan Beqa T., sebelum ini telah menjalani hukuman penjara di negara Eropah lain atas kesalahan pencurian yang serupa, dan hanya dipinjamkan sementara kepada Perancis untuk perbicaraan ini.
Mikheil Z., 50, menerima hukuman paling berat iaitu tujuh tahun penjara serta larangan seumur hidup menjejakkan kaki ke Perancis selepas dibebaskan dan bakal diusir keluar negara itu. Beliau sebelum ini juga dijatuhkan hukuman penjara lebih tiga tahun di Lithuania kerana mencuri penerbitan abad ke-19 bernilai €606,000 (RM2.84 juta).
Beqa T., 49, pula dihukum empat tahun penjara selain hukuman terdahulu selama tiga tahun setengah di Estonia.
Pihak pendakwa menyifatkan tindakan mereka sebagai “sangat besar, terancang, rapi serta dilaksanakan dengan penuh teliti dan tanpa perasaan bersalah”.
Rangkaian Penjenayah Rusia Sasar Perpustakaan Eropah?
Kes-kes kecurian ini, yang turut melibatkan perpustakaan di Jerman, Switzerland dan Republik Czech, memaksa penubuhan pasukan penyiasat bersama membabitkan agensi Eropah seperti Europol dan Eurojust. Hasil siasatan membawa kepada beberapa tangkapan sepanjang 2024.
Di Perancis, kejadian ini berlaku pada 2023 di beberapa institusi tersohor antaranya Perpustakaan Diderot (École Normale Supérieure) di Lyon, Perpustakaan Negara Perancis serta Perpustakaan Universiti Institut Bahasa dan Tamadun di Paris.
Siasatan mendapati, suspek akan melakukan tinjauan terlebih dahulu terhadap naskhah yang ingin dicuri dengan mengambil gambar dan ukuran, sebelum kembali pada masa lain untuk menukar manuskrip asli dengan salinan hampir sama.
Antara Mac hingga Oktober 2023, Mikheil Z. dilaporkan 40 kali berulang-alik ke Perpustakaan Negara Perancis dengan alasan mengkaji demokrasi dalam sastera Rusia abad ke-19, kebanyakannya melibatkan karya Pushkin.
Pada November, pihak perpustakaan mengesan sembilan naskhah telah diganti dengan salinan, membabitkan kerugian dianggarkan sebanyak €650,000 (RM3.05 juta).
Menariknya, pada Jun 2024, sebuah rumah lelong di Rusia telah menawarkan edisi kedua “The Prisoner of the Caucasus” karya Pushkin yang sepadan dengan naskhah dicuri dari Perpustakaan Negara Perancis.
Rumah lelong itu mendakwa memiliki dokumen bahawa buku berkenaan telah diperoleh dari seorang pemilik di Rusia antara 2014 hingga 2015.
Penyiasat percaya, pencurian koleksi sastera penting ini mungkin berkait usaha memulangkan semula warisan budaya Rusia ke negara asal ketika hubungan Rusia-Eropah semakin tegang susulan pencerobohan Ukraine.
Sehingga kini, tiada satu pun karya dicuri berjaya ditemukan semula, namun Perpustakaan Negara Perancis menyatakan tetap optimis dan tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali karya-karya tersebut. — AFP









