Home Malaysia Peminat, diplomat dan penggemar bola sepak sertai sambutan pembukaan Piala Dunia Fifa...

Peminat, diplomat dan penggemar bola sepak sertai sambutan pembukaan Piala Dunia Fifa RTM

14
0

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Suasana kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 semakin terasa apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini meraikan siaran pembukaan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu dalam satu majlis gilang-gemilang di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Majlis ini menghimpunkan pengamal media, penaja, pemain industri serta peminat bola sepak tanah air bagi menyemarakkan semangat kesukanan sejagat.

Acara bersejarah itu turut menyiarkan secara langsung upacara pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 dan perlawanan pembuka tirai membabitkan pasukan Mexico menentang Afrika Selatan, sekali gus memberikan pengalaman tontonan eksklusif kepada semua yang hadir serta peminat bola sepak seluruh negara.

Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail; Duta Besar Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano dan Kuasa Usaha Tinggi Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, Alleta Maseko.

RTM sebagai Penyiar Rasmi Piala Dunia FIFA 2026 akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan kejohanan secara langsung di saluran Okey dan Sukan+, TV1 serta TV2. Selain itu, liputan menyeluruh turut disediakan menerusi program Grandstand, analisis perlawanan, sorotan harian dan pelbagai kandungan istimewa sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurut RTM dalam satu kenyataan, komitmen ini menggambarkan peranan RTM selaku penyiar awam yang bertanggungjawab memastikan akses kepada kandungan sukan bertaraf dunia dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang mahupun lokasi.

“Keupayaan untuk menyiarkan kesemua 104 perlawanan ini adalah hasil sokongan jitu serta sinergi strategik bersama para penaja utama seperti Unifi TV, selain RTM sebagai Penyiar Rasmi serta CelcomDigi, Unifi dan UMobile selaku Penaja Penyiaran. Ini membuktikan komitmen sektor korporat dalam menyokong usaha murni kerajaan,” katanya lagi.

Sepanjang pusingan awal kejohanan, RTM turut menjadualkan beberapa perlawanan utama di saluran Sukan+ dan Okey, termasuk perlawanan pembukaan antara Mexico menentang Afrika Selatan pagi ini, kedua-dua aksi separuh akhir pada 15 dan 16 Julai (2 pagi waktu Malaysia), perlawanan penentuan tempat ketiga pada 19 Julai (4 pagi), dan perlawanan akhir pada 20 Julai (1.30 pagi).

Selain siaran televisyen, orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan kejohanan melalui platform digital RTM, termasuk tiga saluran RTMKlik — FIFA WC1, FIFA WC2 dan FIFA WC3 — yang ditawarkan sepanjang tempoh kejohanan.

Versi baharu RTMKlik kini boleh diakses menerusi kemas kini versi 4.0.5, yang menawarkan pengalaman menonton lebih baik serta akses kepada kandungan dan saluran terbaharu.

Majlis pelancaran pagi ini turut gamat dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti 360 Photo Booth, bola sepak jalanan, trak makanan, permainan dan kuiz yang dianjurkan rakan strategik serta para penaja, sekali gus menambah kemeriahan serta keterlibatan pengunjung. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here