IPOH, 16 Jun — Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak telah menurun sebanyak 71 orang daripada 27 keluarga pagi ini berbanding 92 orang daripada 33 keluarga malam tadi.
Menurut Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, mangsa-mangsa tersebut berada di dua PPS, satu di daerah Larut Matang dan Selama, dan satu lagi di daerah Manjung.
“PPS di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar di daerah Larut Matang dan Selama mencatatkan penurunan kepada 20 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.
“PPS di Sekolah Kebangsaan Beruas di daerah Manjung merekodkan 51 mangsa daripada 19 keluarga, dari Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petang ini di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Muallim dan Batang Padang. — Bernama









