TOKYO, 12 Jun — Kerajaan Jepun menegaskan pendiriannya berhubung penggunaan karya berhak cipta tanpa kebenaran, susulan tindakan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuat naik sebuah video di media sosial yang menggambarkan dirinya sebagai watak utama dalam siri anime popular, Naruto.
Menurut laporan Kyodo News, Menteri bagi strategi “Cool Japan” yang bertanggungjawab mempromosikan budaya Jepun ke peringkat antarabangsa, Kimi Onoda, menekankan bahawa prinsip asas mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta sebelum menggunakan sebarang bahan hak milik intelek juga terpakai kepada institusi awam.
“Walaupun dalam situasi yang mungkin tidak jelas melanggar hak cipta, terdapat risiko karya tersebut boleh digunakan dengan cara yang bercanggah dengan kehendak pemilik hak, sekali gus mencemarkan imej karya tersebut serta membawa kerugian kepada pemiliknya,” katanya dalam satu sidang media. Onoda menegaskan bahawa isu tersebut perlu ditangani dengan penuh hati-hati.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Jepun telah beberapa kali menyuarakan pandangannya kepada pihak AS melalui saluran diplomatik berkaitan isu ini.
Video yang dimuat naik di akaun media sosial Trump pada Sabtu lalu memaparkan beliau dalam beberapa adegan, termasuk sebagai Naruto — watak utama dalam siri anime dan manga ninja yang amat popular di seluruh dunia.
Tindakan Trump ini mencetuskan pelbagai reaksi negatif dan kecaman di media sosial.
Bukan kali pertama pentadbiran Trump menggunakan elemen daripada budaya pop Jepun dalam komunikasi media sosial mereka. Sebelum ini, imej yang dipercayai daripada permainan video Nintendo “Wii Sports” pernah digunakan di akaun rasmi X (dulu Twitter) White House ketika mengulas mengenai serangan ke atas Iran sewaktu konflik AS-Israel dengan negara tersebut.
— Bernama-Kyodo









