Home Dunia IEA Amaran Perubahan Iklim Bakal Jeopardikan Keselamatan Tenaga Asia Tenggara

IEA Amaran Perubahan Iklim Bakal Jeopardikan Keselamatan Tenaga Asia Tenggara

0
0

PHNOM PENH, 30 Jun — Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran bahawa perubahan iklim, permintaan elektrik yang meningkat, dan ketegangan geopolitik di Asia Barat mengakibatkan keselamatan tenaga Asia Tenggara tertekan.

IEA yang berpangkalan di Paris menyatakan pelbagai ancaman berkaitan iklim akan membebankan pasaran tenaga di kawasan tersebut, yang sudah pun menghadapi cabaran besar daripada harga bahan bakar yang tidak menentu.

“Risiko iklim menambah lapisan lain kepada cabaran sistem kuasa di rantau ini. Perubahan iklim dijangka meningkatkan hujan lebat dan memperluas kawasan terdedah kepada banjir, meningkatkan risiko kepada loji jana kuasa, grid dan kilang penapisan,” menurut laporan Outlook Tenaga Asia Tenggara 2026 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Laporan itu menganggarkan lebih daripada 52 gigawatt kapasiti kuasa termal dan hampir empat gigawatt kapasiti solar fotovoltaik terletak di kawasan yang terdedah kepada banjir sekurang-kurangnya satu meter.

Cuaca ekstrem mengancam setiap peringkat rantaian bekalan elektrik, dari pengekstrakan dan pengangkutan bahan bakar hingga kepada penjanaan, penghantaran, dan pengedaran elektrik.

Peningkatan variabiliti iklim, termasuk kemungkinan ancaman El Nino yang lebih kuat, boleh mengganggu sistem tenaga di kawasan ini, kata para pakar.

Asia Tenggara kini merupakan salah satu pusat pembuatan yang berkembang pesat di dunia dan salah satu penggerak utama permintaan tenaga global.

Permintaan elektrik sedang melonjak di seluruh rantau ini, didorong oleh peningkatan penggunaan elektrik isi rumah, pendinginan bangunan, pengembangan pusat data, penggunaan kenderaan elektrik, dan keperluan industri.

Jumlah penyaman udara yang digunakan dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2035 seiring dengan peningkatan pendapatan, pengembangan bandar, dan peningkatan suhu.

Asia Tenggara adalah salah satu kawasan yang paling pesat membangun di dunia dalam pengeluaran aluminium, besi, dan keluli, menurut laporan tersebut.

Permintaan elektrik dijangka lebih daripada dua kali ganda menjelang 2050, memerlukan pengembangan dan pemodenan sistem kuasa dengan cepat.

“Risiko ini boleh dielakkan atau diminimumkan dengan melaksanakan langkah-langkah ketahanan iklim, termasuk standard perancangan yang lebih kukuh, data iklim yang lebih baik, dan pelaburan yang memberikan fokus kepada aset yang terdedah,” kata laporan IEA. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here