Home Dunia Ejen Persekutuan AS Tembak Mati Lelaki Mexico di Texas

Ejen Persekutuan AS Tembak Mati Lelaki Mexico di Texas

0
0

WASHINGTON, 8 Julai — Pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat menyatakan pada hari Selasa bahawa seorang ejen imigresen persekutuan telah menembak dan membunuh seorang warga Mexico semasa cubaan menghentikan kenderaan di Texas.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X, DHS mengatakan ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) cuba menghentikan kenderaan Lorenzo Salgado di Houston awal pagi ini, tetapi lelaki itu “cuba mengelak daripada ditangkap.”

“Dari maklumat yang kami terima, dia telah merempuh kenderaan penguatkuasa ICE, enggan mengikuti pelbagai arahan lisan, dan menggunakan kenderaannya dalam cubaan untuk melanggar seorang pegawai penguatkuasa ICE, meyebabkan pegawai kami melepaskan tembakan sebagai pertahanan diri,” dakwa DHS dalam kenyataan tersebut.

Salgado telah ditembak dan dibawa ke hospital tempatan di mana dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, anak Salgado, Ronaldo, berkata bapanya yang “bekerja keras” itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dalam bidang pembinaan ketika kejadian berlaku.

“Bapa saya tidak layak menerima nasib seperti ini,” kata Ronaldo Salgado. “Bapa saya telah berada di negara ini selama hampir 35 tahun, bekerja dalam bidang pembinaan untuk menyara diri saya, dua adik lelaki dan ibu saya.”

DHS juga menyatakan bahawa FBI akan menyiasat “serangan berpotensi terhadap pegawai penguatkuasa persekutuan.”

Insiden ini menandakan penembakan fatal pertama yang melibatkan ejen imigresen persekutuan sejak kematian dua warganegara AS, Renee Good dan Alex Pretti, dalam kejadian berasingan di Minneapolis pada bulan Januari, di tengah-tengah tindakan keras meluas terhadap imigresen oleh Presiden Donald Trump.

Dalam kedua-dua kes, pegawai persekutuan menuduh Good dan Pretti sebagai ancaman kepada ejen persekutuan pada awalnya, menuding jari kepada mereka atas kematian mereka sendiri, tetapi video-video kejadian tersebut kemudiannya mempertikaikan naratif tersebut dan mendorong tuduhan meluas tentang penyelewengan kuasa oleh pihak persekutuan dan latihan pegawai yang tidak mencukupi.

Ronaldo Salgado menyatakan dalam posnya “terdapat banyak video dan gambar tentang saat akhir kehidupan bapa saya yang saya tidak ingin lihat.” — AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here