Home Gaya Hidup Ikon Kulinari Nyonya, Pearly Kee Meninggal Dunia, Tinggal Warisan Pulau Pinang

Ikon Kulinari Nyonya, Pearly Kee Meninggal Dunia, Tinggal Warisan Pulau Pinang

3
0

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Dunia kulinari Malaysia, khususnya komuniti Nyonya di Pulau Pinang, kehilangan seorang tokoh tersohor apabila pakar masakan warisan, Pearly Kee, meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat kanser.

Pemergian Pearly Kee disahkan oleh menantu beliau, Jivan Ramsamy, menerusi satu hantaran di Facebook, yang meluahkan rasa sedih seluruh keluarga atas kehilangan tersebut.

“Dengan penuh dukacita, saya berkongsi berita pemergian ibu mertua saya yang tercinta selepas beliau bertarung berani melawan kanser,” katanya.

Pearly Kee merupakan figura penting dalam memartabatkan masakan dan budaya Peranakan di Pulau Pinang. Sebagai generasi kelima Nyonya Penang, beliau mewarisi resipi turun-temurun yang dipelajari bersama ahli keluarganya sejak kecil, sebelum mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu tersebut dengan masyarakat.

Misi Pearly untuk memelihara keaslian masakan Nyonya diterjemahkan menerusi penubuhan Penang Homecooking School. Di sini, pelajar dari seluruh dunia berpeluang mengikuti kelas interaktif yang tidak hanya terhad di dapur, tetapi juga bermula di pasar basah Pulau Pinang untuk mengenali ramuan dan kisah di balik setiap hidangan tradisi.

Pearly juga pernah menerbitkan sebuah buku masakan bertajuk A Nyonya Inheritance, yang menghimpunkan koleksi resipi serta tradisi keluarga yang diwariskan dari generasi ke generasi.

Selain penglibatan dalam bidang kulinari, arwah aktif dalam kerja-kerja kebajikan seperti mengajar kemahiran hidup kepada golongan dewasa berkeperluan khas. Pengaruhnya turut menembusi peringkat antarabangsa melalui laman web, saluran YouTube serta penampilan dalam pelbagai program masakan serantau, sekali gus memperkenalkan masakan asli Nyonya ke persada dunia.

Pemergian beliau mendapat reaksi sayu daripada ramai pihak yang mengenali dirinya. Penulis serta pencinta warisan, Khoo Salma Nasution, menyifatkan kehilangan Pearly Kee sebagai satu kehilangan besar buat Pulau Pinang.

“Siapa yang dapat melupakan air tangan Nyonya Pearly Kee, semangatnya serta sikap ramah beliau kepada sesiapa sahaja?” katanya.

Penerbit kandungan digital, Timothy Tye, yang mengenali Pearly selama lebih 20 tahun, turut meluahkan rasa terkejut dengan pemergian tokoh itu.

“Sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang kita tidak sangka akan pergi. Damailah kamu, Pearly Kee,” ujarnya. Tye turut mengenang perkenalan awal mereka ketika dunia blog, jauh sebelum Pearly dikenali ramai sebagai ikon masakan. Katanya, perjalanan Pearly daripada seorang penulis blog kepada tokoh kulinari disegani amat menginspirasikan, terutama melalui kelas masakan dan buku-buku yang diterbitkan beliau. Pearly juga dikenali sebagai penyumbang utama dalam komuniti budaya negeri itu.

Buat masa ini, upacara penghormatan terakhir untuk mendiang Pearly Kee diadakan di rumah pengurusan jenazah Mount Erskine, dan pengebumian serta upacara kremasi dijadual berlangsung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here