KUALA LUMPUR, 11 Jun — Seorang pengusaha penginapan di Busan kini disiasat pihak berkuasa bandar itu selepas seorang peminat kumpulan BTS dari Jepun mendakwa telah menerima kata-kata kesat dan penghinaan ketika membuat pertanyaan berkaitan tempahan tempat penginapan menjelang konsert kumpulan popular Korea itu di Busan.
Laporan The Korea Herald menyatakan, peminat terbabit telah menghubungi pihak penginapan melalui media sosial untuk bertanyakan mengenai proses daftar masuk, kemudahan lif serta dasar pembatalan tempahan.
Perbualan itu kemudiannya dikongsi secara meluas di media sosial dan memaparkan tangkap layar yang menunjukkan kakitangan penginapan tersebut membalas dengan kata-kata kasar serta meminta tetamu dari Jepun itu membatalkan tempahannya.
Berikutan insiden tersebut, peminat terbabit memilih untuk mendapatkan penginapan lain dan telah membuat aduan rasmi melalui platform tempahan dalam talian.
Ekoran kemarahan warganet di media sosial, pihak berkuasa Busan memaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan untuk mengenal pasti pengusaha penginapan terlibat, dan kes ini sedang diteliti dengan serius.
Kejadian ini berlaku di tengah-tengah tumpuan yang semakin meningkat terhadap isu penginapan di Busan menjelang konsert “Arirang” BTS yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini.
Menurut Tourism Data Lab, satu unit di bawah Pertubuhan Pelancongan Korea, Busan merekodkan 185 daripada 368 aduan berkaitan pelancongan di seluruh negara pada Mei lalu — iaitu lebih separuh daripada jumlah keseluruhan aduan.
Lebih 80 peratus aduan diterima melibatkan pelancong asing, terutamanya berkaitan isu penginapan seperti pembatalan sepihak dan caj berlebihan.
Kebimbangan mengenai kenaikan mendadak harga bilik juga semakin memuncak, apabila terdapat laporan bilik di sekitar Pantai Gwangalli ditawarkan mencecah lebih 8 juta won (kira-kira RM21,345) untuk satu malam pada minggu konsert — iaitu 34 kali ganda lebih mahal berbanding harga seminggu selepas itu.
Pemerintah Bandaraya Busan kini memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha penginapan yang didapati mengamalkan amalan tidak adil, dan menyatakan bahawa pihak mereka sedang bekerjasama dengan siasatan polis berhubung kes pembatalan serta penjualan semula tempahan pada harga melampau.









