Home Hiburan Bintang rancangan bakat nyanyian Korea, Kim Yun-seol, meninggal dunia pada usia 27...

Bintang rancangan bakat nyanyian Korea, Kim Yun-seol, meninggal dunia pada usia 27 tahun

2
0

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Dunia hiburan Korea Selatan kembali dikejutkan dengan berita pemergian bintang muda, Kim Yun-seol, yang meninggal dunia pada usia 27 tahun.

Menurut laporan The Star yang memetik media Korea, Kim dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 7 Jun lalu dan majlis pengebumian telah diadakan tidak lama selepas itu. Setakat ini, punca kematiannya masih belum didedahkan kepada umum.

Kim Yun-seol mula mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai juara program realiti Mnet Voice Kids pada tahun 2013. Namanya terus meniti di bibir peminat apabila tampil dalam beberapa pertandingan nyanyian popular lain seperti The Voice of Korea 3, I Can See Your Voice 7 serta Sing Again 4 yang terbaru.

Difahamkan, dalam beberapa bulan sebelum pemergiannya, Kim telah melancarkan akaun TikTok untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat. Beliau turut merancang satu siaran langsung pada 7 Jun sebagai tanda memperingati 100 hari sejak akaunnya dibuka.

Dalam salah satu hantaran terakhirnya, Kim menulis bahawa siaran langsung itu akan berlangsung pada pukul 8 malam. Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan para peminat dan menulis, “Terima kasih kerana sentiasa bersama saya. Marilah kita terus cipta kenangan indah bersama pada masa hadapan.”

Berita pemergian Kim turut mendapat reaksi rakan artis, antaranya Kim Jae-guk dari kumpulan Takapi, yang pernah bersama dalam Sing Again 4. Dalam satu muat naik di media sosial, Kim Jae-guk menyifatkan almarhumah sebagai seorang yang sangat baik hati, lapor Allkpop.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here