Kuala Lumpur, 12 Jun — Harapan Malaysia dalam kejohanan badminton Terbuka Australia berakhir selepas dua wakil terakhir negara, iaitu pemain perseorangan lelaki Justin Hoh dan beregu wanita Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, tersingkir di peringkat suku akhir yang berlangsung di Sydney hari ini.
Dalam kejohanan Siri Super 500 yang berlangsung di Olympic Boulevard, Justin, 22 tahun, terpaksa akur selepas tewas kepada pemain Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah dengan keputusan 7-21, 13-21 dalam masa 38 minit.
Kekalahan tersebut membolehkan Moh Zaki mara ke separuh akhir untuk menentang pemain China, Dong Tian Yao.
Dalam satu lagi aksi, pasangan beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah turut mengalami nasib yang sama apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dengan keputusan 13-21, 17-21.
Peringkat separuh akhir menyaksikan pasangan pilihan ketujuh dari Indonesia itu bakal berentap dengan pasangan dari Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun.
— Bernama









