Home Sukan Ronaldo sahkan Piala Dunia 2026 akan jadi penyertaan terakhirnya

Ronaldo sahkan Piala Dunia 2026 akan jadi penyertaan terakhirnya

0
0

DALLAS, 6 Julai — Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, mengesahkan pada hari Ahad bahawa Piala Dunia FIFA 2026 yang sedang berlangsung merupakan yang terakhir dalam kariernya, lapor Xinhua.

“Ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, tetapi kita harapkan esok bukanlah perlawanan terakhir saya,” kata Ronaldo kepada wartawan menjelang perlawanan pusingan 16 menentang Sepanyol.

“Saya rasa saya tidak bermain dalam Piala Dunia yang buruk. Saya sudah menjaringkan tiga gol. Kita lihat sama ada saya boleh menjaringkan lagi satu gol esok,” tambahnya.

Pemain berusia 41 tahun itu menjaringkan dua gol ketika menentang Uzbekistan dalam peringkat kumpulan dan menyempurnakan satu sepakan penalti menentang Croatia dalam pusingan 32, gol knockout Piala Dunia pertamanya.

Beliau sudah menjaringkan gol dalam enam Piala Dunia berturut-turut sejak debutnya di Jerman pada tahun 2006, dan dengan 11 gol Piala Dunia, beliau menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi berturut-turut.

Ketika ditanya berulang kali tentang persaraan, Ronaldo berkata keputusan tersebut akan dibuat oleh beliau sendiri.

“Tidak kira sama ada saya bermain atau tidak, saya akan sentiasa mempunyai peranan penting dalam pasukan kebangsaan ini. Saya akan berhenti apabila saya memutuskan untuk berhenti, seperti yang saya katakan bertahun-tahun lalu,” ujarnya.

“Sejujurnya, apa pun yang berlaku esok, saya akan pergi dengan hati yang tenang, bukan 100 peratus, tetapi 1000 peratus. Kerana saya telah memberikan segalanya dalam dunia bola sepak,” tambahnya.

Ronaldo telah membuat 232 penampilan untuk Portugal dan menjaringkan rekod 146 gol antarabangsa.

Beliau telah memimpin negaranya meraih gelaran utama pertama di Euro 2016 dan kemudian mengangkat trofi UEFA Nations League pada tahun 2019 dan 2025.

Merenungkan tentang kejohanan tersebut, Ronaldo yang emosional memuji semangat para peminat.

“Piala Dunia kali ini telah ditandai oleh semangat rakyat. Bukan sahaja semangat kita untuk beraksi dalam pertandingan sebesar ini, tetapi juga semangat peminat bola sepak di seluruh dunia,” katanya.

“Pagi ini semasa sarapan, saya bertemu dengan orang-orang dari Venezuela dan Colombia yang memberitahu saya kisah mereka. Ramai daripada mereka mengalirkan air mata ketika memandang saya. Itulah yang sebenarnya penting. Itulah makna kehidupan.” — Bernama-Xinhua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here