JAKARTA, 11 Jun — Tekanan ekonomi luar dan dalam negara kekal terkawal di Indonesia meskipun nilai mata wang rupiah menjunam sehingga memaksa bank pusat menaikkan kadar faedah, kata Timbalan Menteri Kewangan Indonesia semalam.
Dalam wawancara bersama AFP, Juda Agung menyatakan bahawa nilai rupiah kini berada di bawah nilai sebenar dan asas ekonomi Indonesia masih kukuh walaupun pelabur dilihat semakin berhati-hati.
“Memang ada tanda-tanda kesan kepada ekonomi, namun saya berpendapat ia masih dalam kawalan,” ujar Juda mengulas kejatuhan rupiah yang mencatat kadar melebihi 18,000 bagi setiap dolar AS Isnin lalu, sebelum kembali pulih selepas Bank Indonesia mengambil langkah kecemasan menaikkan kadar faedah.
Menurut Juda, setiap satu peratus kejatuhan nilai rupiah — yang telah susut sekitar lapan peratus sejak awal tahun — hanya memberi tekanan tambahan sebanyak 0.07 peratus kepada kadar inflasi serta menambah sekitar 800 bilion rupiah (RM183 juta) kepada defisit bajet negara.
“Kadar inflasi kini sekitar 3.0 peratus, masih dalam sasaran bank pusat iaitu 2.5 peratus, tambah atau tolak 1.0 peratus,” jelasnya.
Beliau menambah, paras defisit bajet negara juga kekal terkawal.
Bank pusat Indonesia minggu ini menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, susulan kenaikan 50 mata asas bulan lalu dan langkah tambahan berkemungkinan diumumkan dalam mesyuarat dasar akan datang.
Pemerhati ekonomi pula melahirkan kebimbangan terhadap reaksi kerajaan menangani tekanan ekonomi yang berpunca daripada lonjakan harga minyak mentah akibat konflik di Timur Tengah.
Indonesia, yang merupakan negara keempat paling ramai penduduk di dunia, adalah pengimport bersih minyak mentah.
Tahun ini, rupiah merekodkan prestasi terburuk di Asia dan pasaran saham Indonesia juga jatuh lebih 30 peratus sejak awal tahun 2026.
Bagaimanapun, Juda menegaskan kerajaan tetap komited kepada sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak 8.0 peratus menjelang 2029, walaupun memerlukan perbelanjaan awam tinggi ketika sumber semakin terhad.
Beliau berkata, subsidi bahan api dan program makanan percuma untuk pelajar akan diteruskan walaupun beberapa penyesuaian dilakukan bagi mengurangkan kos.
Ekonomi Indonesia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2026, namun terdapat keraguan dalam kalangan pakar ekonomi terhadap ketepatan angka tersebut.
Juda turut tidak terlalu bimbang mengenai lebihan dagangan negara yang menyusut mendadak kepada AS$89 juta pada April berbanding AS$3.3 bilion sebulan sebelumnya. Katanya, ini berpunca daripada import minyak mentah yang mahal, namun dijangka menurun semula selepas konflik tamat.
Mengulas tindakan kerajaan mengetatkan kawalan eksport baru-baru ini, Juda menegaskan keputusan itu bertujuan mengurangkan kerugian akibat rasuah yang dianggarkan mencecah AS$900 bilion dalam tempoh 20 tahun. “Kami tidak menutup ekonomi negara,” katanya.
Juda turut mempertahankan langkah memperketat pengawasan Parlimen ke atas bank pusat, sambil menegaskan bahawa kebebasan institusi tersebut tidak boleh dikompromi.
— AFP









