KUALA LUMPUR, 11 Jun — Bursa Malaysia ditutup sedikit lebih tinggi hari ini selepas bergerak dalam julat sempit, disokong oleh pembelian terpilih meskipun terdapat aktiviti pengambilan untung di pasaran.
Prestasi bercampur-campur saham serantau, yang dipengaruhi ketegangan geopolitik di Asia Barat, terus memberi kesan terhadap keyakinan pelabur tempatan.
Sehingga jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik tipis 0.57 mata kepada 1,679.53 berbanding penutupan semalam pada 1,678.96.
Indeks utama itu dibuka 1.58 mata lebih rendah pada 1,677.38 dan bergerak dalam lingkungan 1,674.65 sehingga 1,680.53 sepanjang sesi dagangan.
Keadaan pasaran agak seimbang, dengan 562 kaunter untung berbanding 561 kaunter rugi, sementara 538 kekal tidak berubah, 1,030 tidak didagangkan dan 21 digantung dagangan.
Jumlah dagangan menurun kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.88 bilion, berbanding 3.97 bilion unit bernilai RM2.73 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks penanda aras berjaya ditutup di paras positif, namun pihaknya kekal berhati-hati kerana faktor luar negara masih membayangi prospek pasaran dalam masa terdekat.
“Penjualan asing yang berterusan, selain kebimbangan terhadap harga tenaga yang tinggi dan perkembangan geopolitik, mungkin menyebabkan pelabur terus mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Walaupun risiko penurunan kekal, penilaian menarik dalam sektor-sektor terpilih dijangka terus menyokong pasaran yang lebih luas. Secara keseluruhan, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,690 menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Menurut Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, secara domestik, kenaikan pasaran didorong pembelian terpilih dalam kaunter petrokimia, utiliti dan berkaitan pengguna, namun aksi pengambilan untung dalam sektor sama mengehadkan kenaikan lebih tinggi.
“Ketahanan pasaran ini menyerlahkan kecenderungan pelabur yang terus memilih kaunter bersifat defensif dan berorientasikan domestik di tengah ketidaktentuan geopolitik dan suasana luaran yang berhati-hati,” tambahnya.
Bagi saham-saham utama di Bursa Malaysia, Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM10.66 dan RM4.78. Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM14.30, CIMB susut 10 sen kepada RM7.30, manakala IHH Healthcare kekal pada RM8.67.
Bagi saham aktif, Zetrix AI turun 3.5 sen kepada 81 sen, MM Computer Systems yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE naik setengah sen kepada 22.5 sen, VS Industry susut satu sen kepada 20 sen, Hong Seng kekal satu sen dan Top Glove naik dua sen kepada 83 sen.
Bagi senarai kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 88 sen kepada RM47.56, Nestle meningkat 72 sen kepada RM94.50, Batu Kawan naik 52 sen kepada RM20.80, dan Kuala Lumpur Kepong menambah 46 sen kepada RM20.94.
Kaunter paling rugi pula, Petronas Dagangan turun 92 sen kepada RM17.72, United Plantations susut 70 sen kepada RM31.60, Ideal Capital turun 60 sen kepada RM3.50 dan Allianz Malaysia jatuh 40 sen kepada RM20.56.
Bagi papan indeks, FBM Emas turun 2.88 mata kepada 12,453.60, FBM Top 100 berkurang 3.79 mata kepada 12,298.43, manakala FBM Emas Shariah naik 27.25 mata kepada 12,443.74.
FBM Mid 70 susut 39.48 mata kepada 17,912.41, dan FBM ACE pula naik 11.11 mata kepada 4,671.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 78.75 mata kepada 19,503.66, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 1.65 mata kepada 198.48, Indeks Tenaga naik 6.09 mata kepada 784.86, sementara Indeks Perladangan menambah 11.61 mata kepada 8,805.83.
Dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.53 bilion, berbanding 2.45 bilion unit bernilai RM2.40 bilion semalam.
Dagangan waran meningkat kepada 1.07 bilion unit bernilai RM172.98 juta, berbanding 1.06 bilion unit bernilai RM170.17 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 562.41 juta bernilai RM177.14 juta, berbanding 453.18 juta bernilai RM151.41 juta sebelumnya.
Bagi pecahan sektor di Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna merekodkan 189.74 juta saham didagangkan, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (292.87 juta), pembinaan (110.58 juta), teknologi (359.04 juta), perkhidmatan kewangan (77.0 juta), hartanah (330.62 juta), perladangan (31.18 juta), amanah pelaburan hartanah (22.57 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (67.14 juta), penjagaan kesihatan (82.70 juta), telekomunikasi dan media (52.96 juta), pengangkutan dan logistik (32.38 juta), utiliti (32.95 juta), serta amanah perniagaan (20,000). — Bernama









