Home Malaysia JPN Perlis janji beri kerjasama penuh kepada polis kes murid cedera ditarik...

JPN Perlis janji beri kerjasama penuh kepada polis kes murid cedera ditarik kerusi

4
0

Murid Tahun Enam Cedera Akibat Insiden Tarik Kerusi, JPN Perlis Beri Kerjasama Penuh Siasatan Polis

KANGAR, 12 Jun – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menegaskan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam siasatan polis berhubung kes seorang murid Tahun Enam yang cedera selepas kerusi yang ingin didudukinya ditarik rakan sekelas dalam kejadian di sebuah sekolah di negeri ini, Februari lalu.

Menurut kenyataan JPN Perlis hari ini, sebarang perbuatan membuli tidak akan dikompromi dan individu yang terbukti bersalah harus berdepan tindakan yang sewajarnya.

“JPN Perlis memandang serius insiden yang berlaku di sekolah sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang murid,” katanya, sambil memaklumkan pihak sekolah terlibat telah diarahkan untuk memberikan bantuan sepenuhnya kepada murid terbabit, dengan memastikan kebajikan serta kesejahteraannya diutamakan.

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tidak dapat hadir ke sekolah hampir empat bulan akibat kecederaan yang menjejaskan pergerakannya, selepas insiden pada 11 Februari lalu.

Ibu mangsa, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anak sulung daripada dua beradik itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan serta kemudiannya disahkan mengalami masalah fungsi badan dan gangguan tekanan trauma (PTSD) akibat kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah mengesahkan pihak polis telah menerima laporan berkaitan insiden itu. Kes tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

— Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here