SAN CRISTÓBAL DE LA LAGUNA (Sepanyol), 12 Jun — Lawatan seminggu Paus Leo XIV ke Sepanyol berakhir dengan seruan kuat untuk membantu golongan migran dan menentang sindiket pemerdagangan manusia. Dalam lawatan penutup di pusat penerimaan migran di Tenerife, beliau mengingatkan, “kita semua adalah migran”, merujuk bahawa kehidupan manusia adalah perantauan sementara menuju destinasi abadi.
Paus Leo XIV, pemimpin kepada 1.4 bilion penganut Katolik seluruh dunia, menamatkan kunjungannya di Kepulauan Canary — sebuah rantau yang kini menjadi pintu masuk utama ribuan migran tidak berdokumen yang mengimpikan masa depan lebih cerah di Eropah.
Ucapan beliau dibuat di pusat penerimaan Las Raices, sebuah fasiliti yang pernah dikritik hebat kerana kesesakan, di mana beliau berpesan agar semua pihak bersama-sama memanusiakan perjalanan hidup setiap migran.
“Marilah kita membantu memudahkan perjalanan ini untuk semua manusia, dengan menyumbang mengikut kemampuan kita,” ujar Paus Leo di hadapan ratusan migran yang ditempatkan di pusat tersebut.
Pada hari yang sama, paus kelahiran Amerika Syarikat itu dijadual mengetuai misa terbuka di pelabuhan Santa Cruz de Tenerife, dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung.
Sebelum tiba di Tenerife, Paus Leo XIV turut mengunjungi Gran Canaria, salah satu pulau terbesar di kepulauan itu, pada Khamis lalu. Di sana, beliau mengecam sikap tidak peduli terhadap isu migran dan memperingati ribuan mangsa yang maut dalam perjalanan ke Kepulauan Canary dengan meletakkan karangan bunga di pelabuhan Arguineguin.
“Maruah manusia tidak mengenal pasport,” tegas beliau sambil memberkati sebuah salib kayu yang diperbuat daripada serpihan bot migran. Katanya lagi, “masih ada pihak ‘rakus’ yang mengambil kesempatan mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak, serta mereka yang membiarkan kematian serta penindasan berlaku tanpa rasa bersalah”.
Momen Kritikal
Statistik Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) mendedahkan hampir 1,200 orang migran dilaporkan hilang atau meninggal dunia sewaktu cuba merentasi perjalanan bahaya dari Afrika ke Canary pada tahun lalu, menjadikan laluan itu antara yang paling berisiko di dunia.
Paus juga menegaskan bahawa Eropah tidak boleh mendabik dada kononnya mempertahankan martabat manusia walhal semakin terbiasa dengan tragedi di Laut Mediterranean dan Atlantik yang kini menjadi ‘kubur tidak bertanda’ bagi ribuan migran.
“Tragedi ini perlu menyentuh hati nurani setiap negara asal dan negara transit, di mana migran seringkali lari dari kemiskinan serta konflik sebelum menjadi mangsa pemerdagangan,” tambah beliau.
Mohamed Amjahdi, salah seorang migran dari Maghribi yang tiba di Kepulauan Canary ketika berumur 17 tahun berkata, “Kami benar-benar menghargai lawatan ini. Ia sangat penting dalam saat yang getir seperti sekarang.”
Selesai lawatan di Tenerife, Paus Leo dijangka berlepas ke Rom dan akan berucap kepada pihak media dalam penerbangan pulang. Pada 4 Julai depan, beliau dijadualkan melawat Lampedusa, destinasi utama migran di Itali, sekali gus menunjukkan komitmen penuh beliau terhadap isu migrasi sepanjang kepausannya. — AFP









