Bekas Presiden Korea Selatan Dipenjara 30 Tahun Kerana Operasi Dron Ketenteraan ke Korea Utara
SEOUL, 12 Jun — Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas presiden, Yoon Suk Yeol, selepas didapati bersalah mengarahkan operasi dron ketenteraan ke Korea Utara. Kejadian yang berlaku dua bulan sebelum pengisytiharan undang-undang tentera pada tahun 2024 itu dinyatakan sebagai alasan utama bagi tindakan drastik Yoon menggantung pemerintahan awam di negaranya.
Menurut keputusan mahkamah yang dilihat oleh AFP, Yoon didakwa sengaja mencetuskan ketegangan dengan Pyongyang dalam usaha mencipta krisis nasional dan mewajarkan pengisytiharan undang-undang tentera yang mengejutkan negara. Tindakan provokasi melalui penerbangan dron ke Korea Utara bukan sahaja membangkitkan kemarahan Pyongyang, malah mereka turut menuduh Korea Selatan menyebarkan risalah propaganda ke wilayah mereka.
“Yoon berniat untuk memprovokasi Korea Utara supaya bertindak balas secara bersenjata atau mengambil tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” jelas panel hakim. Mereka turut menambah, kuasa yang ada pada presiden—termasuk arahan tertinggi ketenteraan dan pengisytiharan undang-undang tentera—hanya boleh digunakan demi keselamatan serta kelangsungan negara, bukan untuk kepentingan peribadi.
Jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengesahkan Yoon dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas insiden menceroboh sempadan menggunakan dron. Beliau kini masih ditahan sementara proses rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup atas dakwaan menggulingkan kerajaan melalui pengisytiharan undang-undang tentera dijalankan.
Yoon bagaimanapun mempertahankan tindakannya, menegaskan pengisytiharan undang-undang tentera dilakukan demi menyelamatkan negara. Barisan peguam beliau menolak dakwaan berkaitan operasi dron, mendakwa ianya sebagai tindak balas terhadap insiden balon berisi sampah yang dihantar oleh Korea Utara ke Selatan pada tahun yang sama.
Hakim-hakim mahkamah hari ini memutuskan bahawa operasi dron 2024 tersebut jelas telah menyalahgunakan keupayaan ketenteraan negara bagi tujuan peribadi pemimpin. “Yoon percaya beliau boleh menggunakan kuasa luar biasa itu demi kepentingan politik sendiri,” kata mereka.
Kemelut Politik Memuncak
Pengumuman mengejut Yoon yang disampaikan secara langsung di televisyen pada lewat malam Disember 2024, yang menggantung pemerintahan awam, memburukkan lagi krisis politik di Korea Selatan. Namun, undang-undang tentera hanya bertahan selama enam jam selepas ahli parlimen bertindak pantas membatalkannya dalam satu sidang tergempar.
Situasi tegang ini telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran, menyebabkan pasaran saham menjunam dan mengejutkan negara-negara sekutu utama termasuk Amerika Syarikat. Ketika ini, Yoon berdepan pelbagai kes mahkamah, sementara Lee Jae Myung dipilih sebagai presiden baharu selepas beberapa bulan ketidakstabilan politik.
Insiden dron masih menjadi isu panas dalam hubungan kedua-dua Korea yang teknikalnya masih berperang. Awal tahun ini, satu siasatan mendapati pegawai kerajaan Korea Selatan turut menghantar dron ke Korea Utara, yang dilengkapi senjata nuklear. Presiden Lee Jae Myung telah memohon maaf secara terbuka atas insiden terbaharu ini.
Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menyifatkan permohonan maaf Presiden Lee sebagai tindakan bijak, namun harapan untuk hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara kian pudar apabila Korea Utara kembali menggelar Korea Selatan sebagai “musuh paling utama”.
— AFP









