KUALA LUMPUR, 12 Jun — Seramai 1.88 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripada skim perlindungan kesihatan MySalam sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019, dengan jumlah tuntutan mencecah RM1.423 bilion setakat 31 Disember 2025, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, penerima yang layak terdiri daripada mereka yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pasangan masing-masing yang berumur sehingga 65 tahun.
“Terdapat tiga jenis bantuan yang diberikan kepada penerima,” ujarnya dalam sidang media mingguan kementeriannya hari ini.
Bantuan pertama merupakan faedah hospitalisasi sebanyak RM50 sehari bagi tempoh maksimum 14 hari setahun, dengan had pembayaran tahunan sehingga RM700.
Selain itu, penerima yang disahkan menghidap mana-mana daripada 50 penyakit kritikal yang tersenarai layak menerima bayaran sekali gus sehingga RM8,000.
Fahmi turut memaklumkan bahawa penerima MySalam juga boleh memohon bantuan peralatan perubatan dengan nilai sehingga RM30,000.
Berdasarkan data yang dikemukakan kepada Jemaah Menteri, lebih 1.294 juta penerima telah mendapat manfaat faedah hospitalisasi dengan jumlah bayaran sebanyak RM394.87 juta.
“Bagi tuntutan penyakit kritikal pula, seramai 89,085 penerima telah menerima pembayaran berjumlah RM712.68 juta. Untuk bantuan peralatan perubatan, seramai 13,128 penerima menerima bantuan bernilai RM65.257 juta,” tambahnya.









